KUALA LUMPUR – Ketagihan internet kini dianggap satu bentuk
ketagihan alaf baharu yang menular pantas di seluruh dunia khususnya
dalam kalangan golongan muda.
Isu yang berkait rapat dengan kesihatan mental itu boleh ditafsirkan
secara ringkas sebagai, sejenis gangguan psikologi yang menjejaskan
kawalan impuls diri sehingga seseorang menjadi terlalu akrab terhadap
internet.
Istilah lain yang digunakan ialah pergantungan kepada internet, ketagihan teknologi dan penggunaan komputer patologi.
Isu itu diburukkan lagi dengan kemajuan teknologi telefon bimbit dan
pelbagai jenis gajet pintar di pasaran yang menyebabkan ramai pengguna
menghabiskan terlalu banyak masa dengan melayari laman sosial atau
Social Networking Site (SNS) seperti laman Facebook (Fb), Instagram,
WhatsApp, Keek, dan Twitter.
Lebih membimbangkan, statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) menunjukkan 72 peratus daripada 18.6 juta pengguna
internet tempatan adalah golongan muda seawal usia mentah tujuh tahun
hingga berusia 35 tahun.
Rata-rata mereka mendapat akses mudah dari rumah, tempat kerja,
institusi pengajian tinggi (IPT) atau gajet pintar, selain banyak
kemudahan internet yang mudah dan pantas untuk komuniti luar bandar
termasuk Pusat Mini Jalur Lebar Komuniti, Pusat Internet 1Malaysia dan
Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia yang terdapat di seluruh negara.
Namun demikian, masalah ini sebenarnya boleh ditangani melalui program intervensi yang dibimbing oleh para kaunselor.
KESIHATAN MENTAL
Kerjasama penyelidikan antara SKMM dengan sebuah universiti tempatan,
Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), mendapati ketagihan SNS
berkait rapat dengan kesihatan mental iaitu tekanan perasaan, keresahan
dan kemurungan.
Pasukan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Ke Guek Nee
turut mendedahkan bahawa 60 peratus daripada keseluruhan responden
didapati mengalami simptom keresahan yang berpunca daripada ketagihan
SNS.
Beliau yang kini berkhidmat di Heriot-Watt University Malaysia, turut
mengesahkan hubungkait antara penggunaan SNS dengan kesihatan mental,
iaitu semakin ketagih seseorang itu terhadap SNS, semakin terjejas
kesihatan mental mereka.
“Keputusan analisis itu diperoleh daripada soal selidik terhadap 725
pelajar responden dari lapan IPT awam termasuk Semenanjung Malaysia,
Sabah dan Sarawak”, jelasnya.
Bagi beliau ketagihan internet adalah satu isu yang serius dan ramai yang tidak menyedari masalah itu.
“Contohnya, jika seorang pengguna internet tidak dapat menggunakan
SNS seperti Whatsapp dalam tempoh, katakan sehari sahaja, mereka akan
merasa risau ekoran takut ketinggalan sekaligus menunjukkan simptom
masalah kesihatan mental”, tambahnya.
Selain menjejaskan kesihatan mental, beliau turut mengakui tabiat
ramai golongan muda yang lebih suka meluangkan banyak masa dengan
internet boleh membawa kesan negatif yang lain.
“Ini termasuk tersisih daripada interaksi sosial bersemuka, tabiat
makan yang tidak sihat, gangguan tidur, kurang aktiviti fizikal, tumpuan
pelajaran atau kerja terjejas, yang akhirnya menjejaskan kesihatan
fizikal”, tegas beliau.
POTENSI MUDARAT
Penemuan beliau adalah satu daripada dua kajian IMU yang bertujuan
mendapatkan bukti sahih kesan SNS dan penggunaan internet ke atas
kesihatan mental remaja Malaysia dan bagaimana media sosial memberi
kesan kepada hubungan sosial secara fizikal mereka.
Satu lagi kajian yang dilakukan ialah program intervensi yang
melibatkan sukarelawan yang sedar bahawa mereka mempunyai masalah
ketagihan, dan bersedia untuk mengatasi masalah itu.
“Program intervensi itu didapati membantu peserta untuk mengawal
tekanan perasaan, keresahan dan terutama sekali kemurungan yang dialami
akibat daripada ketagihan”, tambah Dr. Ke.
Pendek kata internet memang akan sentiasa dekat dengan kita
menyebabkan kita tidak boleh lari dari berdepan dengan kesan negatif
yang boleh tercetus ekoran penggunaan SNS secara tidak berhemah seperti
dibuli melalui pengguna ‘haters’ dan ‘trolls’, selain boleh menjejaskan
keselamatan apabila menjadi mangsa penipu dan pengendap dalam talian.
Justeru, dapat disimpulkan bahawa kajian saintifik membuktikan
potensi mudarat yang dibawa melalui penggunaan internet berupaya
melemahkan generasi akan datang malah boleh menjejaskan keselamatan diri
dan komuniti.
Bimbang dengan potensi mudarat yang dibawa oleh internet terhadap
masa depan rakyat, kerajaan melalui SKMM, melipatganda lagi inisiatif
bagi mengurangkan impak negatif penggunaan internet melalui program
‘Klik Dengan Bijak’ (KDB) yang lebih proaktif dan positif.
BINA JATI DIRI
Pengarah Kanan Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM, Eneng Faridah
Iskandar menyedari bahawa isu ketagihan internet tidak terhad kepada
pelajar di kawasan bandar yang mempunyai akses mudah kafe siber, Wifi
percuma dan seumpama.
“Sebaliknya isu ketagihan dan keselamatan siber ini dibimbangi turut
mempengaruhi jiwa pelajar luar bandar yang kini mempunyai akses mudah
kepada internet”, kata beliau.
Oleh itu, beliau menekankan kepentingan orang awam untuk menyedari
masalah ini dan mengetahui pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi
mengatasinya.
Ini sekaligus menjadikan sasaran utama program KDB ialah pembinaan
jati diri untuk golongan remaja dan kanak-kanak dengan mengguna
pendekatan yang ‘cool’ dan menyeronokkan.
“Generasi muda amnya tidak suka ditegur, jadi pendekatan terhadap isu
itu perlu dilakukan secara lembut dan sensitif yang lebih sesuai dengan
keperluan mereka”, akui Eneng Faridah sambil memainkan beberapa iklan
video menarik yang dimuat naik ke dalam akaun FB KDB.
Selari dengan prinsip Rukun Negara, KDB memberi fokus melalui tiga
pendekatan utama iaitu mendidik pengguna mengguna internet dengan
selamat, mengingatkan pengguna untuk sentiasa berwaspada terhadap semua
aspek interaksi online serta memgalakkan penggunaan internet secara
positif sahaja.
PANTAU KESELAMATAN
Beliau mengingatkan golongan muda betapa pentingnya untuk tidak
mendedahkan maklumat peribadi, tidak berinteraksi dengan orang yang
tidak dikenali serta menjaga tingkah laku dan berfikir secara rasional
sebelum menaip sesuatu ke dalam internet.
Amnya, KDB membantu mendidik golongan muda untuk mengesan bahaya,
membezakan perkara yang betul dan salah, sedar akan akibat yang perlu
dihadapi daripada pilihan cara penggunaan internet dan seumpamanya.
“Paling penting peserta program KDB turut dididik dengan cara selamat
untuk mendapatkan bantuan jika mereka menghadapi masalah yang berpunca
dari penggunaan internet”, tambah beliau.
Apapun, kerajaan hanya mampu mengambil langkah pencegahan dan
penguatkuasaan melalui SKMM, sedangkan tugas sebenar untuk menghalang
penggunaan internet berlebihan terletak kepada pendekatan asuhan ibu
bapa kepada anak mereka.
Justeru Eneng Faridah turut menggalakkan ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa memantau penggunaan internet dan SNS anak mereka.
“Program KDB juga membantu ibu bapa memahami isu keselamatan dalam
penggunaan internet serta cara mengenalpasti tingkahlaku anak yang
mungkin terlibat dalam isu itu”, tambahnya.
PELBAGAI AKTIVITI
Selain aktif dalam laman sosial FB, SKMM mempunyai enam Pejabat
Wilayah di seluruh negara yang membolehkan mereka menyampaikan pelbagai
aktiviti menarik untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber
kepada golongan sasaran dengan kerjasama pelbagai pihak.
Melalui kerjasama dengan pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara
misalnya, mereka telah memasukkan topik keselamatan penggunaan internet
ke dalam Modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selain mengadakan
‘Roadshow KDB’ di kem-kem terpilih PLKN.
“Peserta PLKN yang berusia antara 18 hingga 20 tahun adalah golongan
sasar terbaik untuk dipupuk dengan keselamatan siber sebelum mereka mula
terjebak dengan ketagihan SNS”, jelas Eneng Faridah.
Antara aktiviti itu ialah kempen ‘Be Smart’ hindari jenayah komersial
bersama PDRM, perkhemahan tahunan bersama Persatuan Pengakap Malaysia
dan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat dalam menganjurkan sesi latihan dengan pakar luar negara,
Wisekids UK serta seminar Pelan Tindakan Kebangsaan Untuk Melindungi
Kanak-kanak Dalam Talian. – BERNAMA