Fokus Muafakat Selamatkan MAS - Anuar Manap

 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Sekijang menggesa semua kakitangan Malaysia Airlines (MAS), terutama kesatuan sekerjanya supaya memberi kerjasama penuh kepada Khazanah Nasional Berhad bagi memastikan rancangan pengambilalihan MAS berjalan lancar.

Anuar berkata, adalah penting semua pihak yang berkepentingan dalam usaha memulihkan MAS bermuafakat, bersatu hati dan memberi fokus memikirkan kaedah terbaik untuk menyelamatkan MAS yang merupakan simbol kebanggaan negara.

"Sokongan padu ini bukan hanya dituntut daripada rakyat, tetapi daripada mereka yang berada di dalam MAS sendiri. Melalui proses penyusunan semula oleh Khazanah, saya yakin MAS akan dapat keluar daripada kemelut kewangan yang dialaminya sekarang," katanya yang dipetik dari Bernama, hari ini.

Beliau menggesa agar semua kesatuan sekerja MAS menghentikan perbalahan dan menamatkan konfrantasi serta-merta kerana demi memastikan kejayaan menyelamatkan syarikat itu yang memerlukan kerjasama erat dari semua pihak.

Anuar yang juga Presiden Majlis Belia Felda Malaysia mengulas kenyataan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kabin Malaysia (NUFAM) yang sebelum ini mahu "pihak ketiga" menjadi perantara dalam pelan penstrukturan semula MAS oleh Khazanah yang dijangka bakal diumumkan tidak lama lagi.

"Sepatutnya beri peluang kepada Khazanah bentangkan dulu pelan yang hendak mereka laksana untuk menyelamatkan MAS ini.

"Siapakah kita dalam keadaan MAS terumbang-ambing nak memberi syarat atau nak minta macam-macam sedangkan kita tak nampak lagi apakah pelan itu," tegasnya yang merujuk pada kepentingan survival syarikat penerbangan negara itu.

Anuar berkata desakan NUFAM yang mendesak kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa bertindak sebagai pihak ketiga antara pengurusan MAS dan pekerja itu juga seolah-olah meletakkan pihak dalaman MAS tidak sehaluan dan tidak bekerjasama.

"Pengurusan sedia ada adalah yang dilantik secara sah, begitu juga dengan kakitangan.

"Kalau satu pihak boleh memilih untuk tidak mengakui pengurusan sekarang, tidak salah juga untuk pihak pengurusan tidak akui kakitangan. Kenapa perlu keruhkan keadaan walhal boleh duduk semeja demi kelangsungan MAS," tambahnya.

Mengulas beberapa penstrukturan semula yang dilalui MAS pada masa lepas tetapi masih tidak berkesan, Anuar menjelaskan bahawa bawah penstrukturan sebelum ini adalah pelan "terhad" berbanding pelan menyeluruh yang akan dibentangkan Khazanah.

Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa Khazanah akan melaksanakan proses pembaharuan yang melibatkan beberapa langkah perit yang memerlukan pengorbanan semua pihak yang akan dilakukan secara profesional, adil dan telus.

"Penstrukturan MAS sebelum ini hanya pemulihan secara kosmetik yang melibatkan penjualan serta pemindahan aset dan kos serta tidak mengambil kira masalah sebenar seperti tadbir urus, kecekapan dan akauntabiliti," ujarnya lagi. - KedahNews.com