Formula Terbaik Memecah Kebuntuan Politik Selangor?

KALAULAH Pas akhirnya meninggalkan PR kerana isu Menteri Besar Selangor, ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Lim Kit Siang dalam kenyataan menunggu hari mesyuarat Majlis Presiden PR yang sepatutnya berlangsung semalam, 10 Ogos menyifatkan: "Mesyuarat ini bukan semata-mata untuk menentukan Menteri Besar Selangor tetapi masa depan pakatan."

Ertinya, sesuatu yang cukup besar sudahpun dijangka oleh pemimpin PR sendiri. Memang, Pas tidak pernah setegas ini. Lazimnya dalam beberapa isu kontroversi yang pernah berlaku sebelum ini, pemimpin Pas akhirnya akan buat pusingan U selepas bertemu Anwar Ibrahim. Namun dalam isu MB Selangor, sikap yang ditunjukkan berbeza.

Sejak awal - dalam tulisan disiarkan pada 23 Julai yang ditulis beberapa jam selepas Anwar umum isterinya akan dilantik sebagai MB Selangor - saya telah menyarankan supaya Khalid Ibrahim dipelawa masuk Pas untuk kekal sebagai MB.

Jika ini jadi kenyataan, sudah pasti ia suatu langkah yang dengan sendirinya akan memisahkan Pas dengan sekutunya dalam pakatan.

Namun pada hemat saya, itulah langkah yang paling baik boleh dibuat oleh  Pas dan Khalid yang diketahui mendapat restu istana  dan majoriti rakyat Selangor untuk kekal di kerusinya.

Meskipun pada masa itu saya sebenarnya masih tidak begitu yakin Pas akan begitu berani mempertahankan Khalid, namun jauh di lubuk hati, saya percaya pertemuan tengah malam menteri besar itu dengan Abdul Hadi Awang dan Mustafa Ali  pada penghujung bulan puasa lalu di kediamannya di Shah Alam, bukan pertemuan biasa.

Alasan yang diberitahu Mustafa kepada media, "sekadar bertanya khabar dan membalas kunjungan MB ketika Presiden (Abdul Hadi) di hospital" agak payah untuk diterima.

Ini makin jelas apabila Abdul Hadi kemudian membuat kenyataan bahawa Pas akan mempertahankan Khalid sebagai MB. Ini disusuli pula dengankeputusan Majlis Syura Ulama - badan pembuat keputusan tertinggi dalam Pas - yang merasmikan kenyataan Abdul Hadi.

Mesyuarat Majlis Syura Pas diawalkan, mendahului mesyuarat Jawatankuasa Pusat yang sepatutnya berlangsung semalam (10 Ogos). Ini benar-benar menjadi tempelak buat Anwar dan PKR!

Apa lagi, pendirian Pas awalnya sudah cuba digoyang dari dalam oleh tiga anggota kepimpinannya yang menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai pandangan peribadi kerana dibuat mendahului keputusan parti yang akan bermesyuarat pada 10 Ogos.

Ini sesuatu yang sangat luar biasa bagi Pas apabila institusi presiden yang selama ini cukup disegani dan setiap kenyataannya diterima sebagai keputusan parti, tidak lagi dihormati. Begitu kuat pengaruh Anwar hingga orang Pas begitu berani membidas pemimpin sendiri.

Barang kali kerana melihat apa yang berlaku sebagai ancaman terhadap keutuhan parti, Majlis Syura Ulama tampil menutup kontroversi dengan merasmikan apa yang disebut Abdul Hadi sebagai itulah keputusan parti.

Isu 'tidur sebantal, mimpi lain-lain' sudah sebati dengan Pas sejak dahulu lagi apabila berlaku gabungannya yang rasmi dan tidak rasmi dengan parti lain, terutama DAP.

Sebagai pembangkang yang sejak awal kehadirannya di pentas politik tanah air terpaksa berhadapan dengan kekuatan BN yang begitu ampuh dan sukar dirempuh, Pas walaupun memperjuangkan Islam, masih perlu untuk bertindak secara politik.

Parti itu pada ketika yang tertentu terpaksa mengambil sikap untuk sedia bergabung dengan parti-parti lain atas prinsip 'the enemy of my enemy is my friend' demi menumbangkan kerajaan BN meskipun terpaksa mengambil risiko termasuk bantahan dari dalam parti.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1990, Pas bergabung dengan Semangat 46, Berjasa dan Hamim di bawah payung Angkatan Perpaduan Ummah (APU), gabungan yang kemudian berjaya menumbangkan BN di Kelantan untuk parti itu   kekal berkuasa hingga hari ini.

Gabungan itu bagaimanapun hanya bertahan hingga PRU 1995 apabila pemimpin Semangat 46 kemudian membuat keputusan untuk kembali ke pangkuan Umno manakala beberapa Adun Semangat 46 menyertai Pas.

Penyatuan dengan Semangat 46 pada masa itu pun dibantah oleh sebilangan orang kuat Pas sendiri. Di Kelantan, antara yang menentang termasuk Cikgu Musa Salleh (bekas Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Puteh) dan Wan Ismail Wan Ahmad, bekas AJK Dewan Ulama Pas Kelantan.

Mereka menuduh Pas telah lari daripada prinsip perjuangan asal sejak penubuhannya pada 1951 kerana bergabung dengan Semangat 46 yang dianggap parti sekular sama seperti Umno. Kumpulan itu menggelar mereka sebagai Pas 51 sebelum ditukar kepada Islah. Cikgu Musa kemudian menubuhkan Angkatan Keadilan Islam Malaysia (Akim).

Pada masa yang sama, Semangat 46 yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah terpaksa bergabung dengan parti pembangkang lain  DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS), IPF (Indian Progressive Front), PSRM dan Kimma di bawah jenama yang berbeza, Gagasan Rakyat untuk berjuang di peringkat nasional.

Ini kerana, Pas  bawah kepimpinan Fadzil Noor ketika itu menyediakan 'buffer zone' iaitu sempadan bagi mengelak parti bukan Islam terutama DAP yang secara terang-terangan menolak pemerintahan Islam yang diperjuangkannya, berkaitan secara rasmi dengan Pas yang dicurigai boleh mengganggu perjuangan Pas.

Lantaran itu, terselamatlah Pas daripada gangguan DAP yang begitu konsisten penentangannya terhadap usaha membawa pemerintahan Islam melalui frasa mahsyur 'Islamic country is over my dead body' hingga sekarang.

Meskipun ada cubaan untuk mengaitkan Pas dengan tindak-tanduk DAP yang menentang Islam, gangguan itu hanya sekadar di luar cawan!

Bagaimanapun, apabila Pas bergabung secara langsung dengan PKR dan DAP selepas PRU 2008, pakatan itu dilihat oleh pemerhati begitu mencurigakan!

Meskipun pendokong Pas mempertahankan gabungan itu sebagai tahaluf siyasi dan keputusan yang meluluskannya dibuat oleh Majlis Syura Ulama, ironinya kedudukan Pas dalam pakatan lazimnya sekadar di pinggiran.

Anwar dilihat lebih meraikan DAP berbanding Pas. Konsep tahaluf siyasi, realiti amalannya masih diragui oleh sebahagian besar anggota masyarakat di luar mahupun di dalam Pas sendiri. Ini kerana, syarat tahaluf siyasi ialah Islam perlu dominan namun sebaliknya DAP dilihat  cukup berkuasa dalam pakatan.

Sekarang adalah masa yang sesuai untuk Pas kembali berjuang sendirian. Walaupun matlamat pilihan raya penting bagi setiap parti politik termasuk Pas, namun sebagai wadah perjuangan Islam, kemenangan pilihan raya bukanlah segala-galanya.

Ini kerana yang lebih utama ialah mencari keredaan ALLAH. Menang di dunia penting, tetapi akhirat lebih penting.

Pesan Ustaz Fadzil, "jangan masuk Pas kalau anda cari dunia. Pas bukan untuk orang yang buru dunia."

Apa pun, saya yakin Pas akan lebih kuat tanpa gangguan DAP dan bayang-bayang Anwar Ibrahim. Kerajaan campuran Pas-BN Selangor - negeri termaju di Malaysia - dengan Khalid sebagai  MB adalah permulaan yang hebat.

MUHAMAD MAT YAKIM -Sinar Harian