‘Forum Krisis Selangor’ Medan Telanjangkan MB Selangor



Forum Krisis Selangor: Pakatan Rakyat Berpecah? yang berlangsung semalam dilihat jadi medan untuk ‘menelanjangkan’ Khalid Ibrahim oleh Pakatan Rakyat.

Jelas, hal ini berpunca daripada tindakan Khalid yang liat untuk meninggalkan kerusi Menteri Besar Selangor meskipun sudah disuruh berbuat demikian.

Pada masa sama kedegilan Khalid juga boleh dikatakan satu ancaman yang boleh memecah belahkan pengundi PR kerana populariti yang diraihnya sepanjang dua penggal memimpin Selangor.

Hal ini diakui panel utama yang juga Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ketika membentangkan sebab mengapa Khalid tidak boleh terus jadi MB Selangor sekaligus bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim (menggunakan Wan Azizah sebagai boneka) sesuai dengan Langkah Kajang yang telah diatur.

Isu penyelesaian hutang Khalid sebanyak RM59.5  juta pada Bank Islam secara mencurigakan menjadi subjek utama yang dibongkar Rafizi mengapa Khalid dikatakan tidak lagi relevan mewakili PR untuk menerajui Selangor.

Rafizi memberitahu hasil ‘risikan’ mendapati Khalid telah bersekongkol dengan pihak lawan (Umno) apabila menggunakan khidmat Tan Sri Rashid Manaf yang merupakan peguam Tun Daim Zainudin sebagai orang tengah untuk melupuskan pinjaman lamanya terhadap Bank Islam.

Seterusnya Rafizi mendakwa, rekod kejujuran Khalid yang selama ini boleh dikatakan bersih tercalar apabila beliau secara curang memberikan projek bernilai 100 juta selain memudahkan satu urus niaga tanah di Selangor bernilai 1.3 bilion kepada syarikat milik Rashid iaitu Eco World Berhad tidak lama selepas Bank Islam mengesahkan tindakan mahkamah terhadap Khalid tidak akan diteruskan.

Khalid didakwa telah diberi peluang membela diri di Hotel Quality, Shah Alam bagi menjelaskan perkara ini namun jawapannya dikatakan tidak memuaskan hati Anwar Ibrahim serta wakil lain dari PKR, PAS dan DAP yang hadir pada masa itu.

Selain isu hutang Khalid, Rafizi turut mengungkit bahawa Khalid tidak mempunyai hubungan baik dengan ramai ahli parlimen Selangor kerana keengganannya berjumpa mereka untuk menyelesaikan masalah.

‘TELUR KHALID DIPEGANG UMNO’

Usai sesi menghentam Khalid oleh Rafizi, wakil DAP yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua membuka pekung Khalid yang disifatkannya gagal mewujudkan sebuah kerajaan contoh cara tadbir Putrajaya (jika PR berjaya menawannya satu hari nanti).

Beliau turut membayangkan Khalid sebagai MB yang lembap kerana banyak projek penting terbengkalai antaranya projek membersihkan Sg Klang yang sepatutnya ditandatangani pada September 2010 dan projek ternakan khinzir secara sistematik yang diumumkan pada 21 Julai 2008.

Tony turut meluahkan perasaan tidak puas hati berkaitan isu rampasan al-kitab yang masih belum dipulangkan kepada pihak gereja, kegagalan melantik YDP MPAJ yang sudah masuk setahun serta sifat kedekut Khalid untuk membelanjakan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih jalan di Selangor hingga ditegur audit negara.

Panel wakil PAS iaitu Hanipa Maidin yang merupakan Ahli Parlimen Sepang pula mengumumkan parti tersebut hanya akan mengumumkan keputusan berkaitan isu Khalid disuruh berundur sebagai MB pada 10 Ogos ini.

Begitu pun beliau membayangkan bahawa keputusan PAS mungkin tak jauh berbeza daripada PKR dan DAP.

“Kalau parti dah tolak kenapa dia mahu terus kekal? Kalau Khalid nak selesai cara baik dia patut resign sebelum keputusan dibuat lagi.

“The moment TV3 dan Utusan sokong Khalid kita tahulah…” kata Hanipa merujuk kepada berita ‘baik-baik’ yang dikatakan disiarkan media tersebut kepada Khalid kebelakangan ini.

Dalam pada itu aktivis dan pemerhati politik Hishamuddin Rais mencetuskan suasana kurang senang dalam Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor yang menjadi lokasi forum berlangsung apabila terlalu lancang mengutuk Khalid hingga menggunakan ayat ‘MB Khalid Dipegang Telur Oleh Umno’ dan berlebihan menggambarkan pandangannya hingga mengeluarkan kenyataan merendahkan martabat wanita.

Tindakan Hishamuddin ini kemudiannya ditegur pengunjung forum ketika sesi soal jawab dan disifatkan sebagai mentaliti negara ketiga dan memalukan.

Selain Rafizi, Tony, Hanipa dan Hishamuddin; turut berada di pentas semalam adalah Syukri Razab selaku moderator. -Mynewshub.my