Gadis 14 Tahun Dakwa Dirogol Bergilir-Gilir Teman WeChat


Kuala Terengganu, 11 Ogos – Seorang remaja perempuan mendakwa telah dirogol secara bergilir-gilir oleh teman lelaki serta tiga rakan lelaki itu yang baru dikenalinya menerusi aplikasi WeChat baru-baru ini.

Kejadian dilaporkan berlaku Julai lalu di sebuah rumah di Kampong Gong Pauh, Chukai, Kemaman.

Remaja yang baru berusia 14 tahun itu, dikatakan telah mengadakan temujanji pertama bersama teman lelaki yang berusia 22 tahun sebelum dirogol oleh lelaki tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan berkata, dalam pertemuan pada jam 3.30 petang , mangsa pada mulanya telah dibawa menaiki sebuah motosikal untuk bersiar-siar di sekitar Bandar sebelum suspek bertindak membawa remaja berkenaan ke sebuah rumah kosong di Kampung Gong Pauh, Chukai, Kemaman.

“Suspek dikatakan pada awalnya berjanji hendak mengajak mangsa hanya untuk bersiar-siar di kawasan bandar berhampiran, tetapi suspek telah membawa mangsa ke sebuah rumah di Kampung Gong Pauh, Chukai, Kemaman.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan, terdapat tiga lelaki lain yang sedia menunggu di dalam rumah sebelum mangsa dibawa masuk ke dalam bilik,” katanya dipetik menerusi Sinar.

Wan Abd Aziz berkata, suspek kemudian masuk ke dalam bilik dan cuba memegang mangsa tetapi tindakan tersebut tidak disukai oleh remaja itu.

“Mangsa merayu meminta suspek menghantarnya pulang ke rumah tetapi suspek mula bertindak kasar apabila cuba membuka pakaian mangsa.

“Melihat tindakan suspek yang bagaikan hilang akal itu, mangsa cuba menjerit sekuat hati meminta tolong, namun suspek bertindak menutup mulut mangsa sebelum merogolnya,” ujarnya lagi.

Menurut Wan Abd Aziz lagi, selepas dirogol oleh teman lelakinya, tiga rakan lelaki itu turut masuk ke dalam bilik berkenaan dan merogol mangsa secara bergilir-gilir.

Mangsa yang dirogol oleh empat lelaki itu kemudiannya telah dihantar pulang ke rumah mangsa kira-kira jam 7.00 malam.

Tambah Abd Aziz, mangsa pada mulanya enggan membuat laporan polis kerana bimbang mengenai keselamatanya tetapi nekad melaporkan kepada polis selepas lelaki itu mengulangi perbuatannya buat kali kedua pada 4 Ogos lalu.

“Pada mulanya, mangsa tidak membuat sebarang laporan polis kerana bimbang keselamatannya tetapi nekad melaporkan perbuatan terkutuk suspek selepas dirogol buat kali kedua dalam kejadian terbaru pada 4 Ogos lalu.

“Susulan laporan dibuat mangsa kelmarin, polis menahan teman lelaki mangsa berusia 22 tahun yang kini direman selama tujuh hari sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Selain itu, kita turut memburu tiga lagi rakan suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian ini,” katanya. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor