Gaji Minimum: 56 Majikan Terima Padah



KUALA LUMPUR – Seramai 56 majikan yang diperiksa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sehingga 30 Jun lalu didapati tidak memberi gaji minimum RM900 sebulan kepada pekerja mereka.

Ketua Pengarah JTKSM, Mohd. Jeefrey Joakim berkata, kesalahan majikan terbabit dikesan melalui pemeriksaan ops gaji yang dilaksanakan bermula 1 Januari lalu di seluruh negara.

“Sebanyak sembilan siri ops gaji telah dijalankan dan seramai 89 majikan telah diperiksa dan 56 majikan didapati gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2012 melibatkan kira-kira 1,000 pekerja.

“JTKSM tidak akan berkompromi dan tindakan susulan seperti pendakwaan akan diambil terhadap majikan-majikan degil,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Jeefrey memberi contoh sebuah syarikat di Petaling Jaya, Selangor dikenakan hukuman denda oleh mahkamah pada 14 Julai lalu kerana tidak memberi gaji minimum RM900 kepada tiga pekerjanya.

Justeru, katanya, Pasukan Khas Penguat Kuasa JTKSM akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan melibatkan semua sektor khususnya sektor yang dikenal pasti masih berdegil mematuhi perintah itu.

Beliau dalam pada itu memaklumkan pemilik sebuah syarikat di Johor dihukum penjara lima tahun dan denda RM50,000 dan kerani syarikat itu dihukum penjara tiga tahun dan denda RM30,000.

Kedua-dua mereka didapati salah dibawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 kerana memperdagangkan 10 wanita Kemboja.
Sumber: Mynewshub.my