Semalam, Malaysian Insider mendedahkan tentang seorang AJK PAS yang mendakwa Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba memancing Timbalan Presiden PKR, Azmin dan tiga orang ADUN PKR untuk menyertai PAS seterusnya bergabung dengan UMNO bagi membentuk kerajaan perpaduan di Selangor.
Mynewshub.my pula mendedahkan AJK PAS yang dimaksudkan Malaysian Insider itu sebagai Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, yang dilaporkan bertengkar dengan Abdul Hadi berhubung kandungan perbincangannya dengan Azmin berkenaan isu krisis Menteri Besar.
Beberapa hari lalu, Abdul Hadi bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali, dikatakan telah melakukan pertemuan dengan Azmin dan perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden PAS tersebut.
Abdul Hadi dikatakan membuat keputusan kontroversi itu dengan alasan "demi menjaga Melayu sebagai asas perpaduan" dan kurang setuju dengan perlantikan seorang wanita sebagai Menteri Besar Selangor.
Bagaimanapun, Harakahdaily melaporkan penafian rasmi PAS mengenai dakwaan kedua laporan portal itu dan menyifatkan Malaysian Insider sebagai tidak betul dan berniat jahat dalam agenda penyiaran berita berkenaan.
Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa memang wujud pertemuan di antara Abdul Hadi dengan Azmin seperti yang didakwa.
Namun dia menegaskan bahawa Presiden PAS itu langsung tidak menyebut mengenai agenda menubuhkan kerajaan perpaduan sebagaimana yang dilaporkan media berkenaan.
Justeru, Dr Ahmad Samsuri menggesa Malaysian Insider memohon maaf secara terbuka atas kepalsuan laporan tersebut secepat mungkin memandangkan ia mampu mencetus kekeliruan di kalangan orang ramai.
Bagaimanapun, penafian PAS tersebut bagaikan tidak berkesan apabila ramai pihak yang menganggap Abdul Hadi tidak bercakap benar mengenai insiden itu dan menuduhnya sebagai "musang berbulu ayam" serta "lidah biawak". -KedahNews.com