Hadi Awang Harumkan Nama Malaysia, Tapi...


Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima pengiktirafan dunia sebagai ulama apabila namanya dinobatkan sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia Islam.

Dua lagi yang turut dilantik sebagai naib ketua bersama Presiden PAS itu ialah Syeikh Raisuni dari Maghribi dan Syeikh Ahmed Al-Khalily, yang merupakan Mufti Kesultanan Oman.

Pun begitu, nama Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, tidak dapat dipastikan sama ada tersenarai di dalam kesatuan itu atau tidak.

Meskipun begitu, keputusan Abdul Hadi di dalam arena politik PAS terpaksa mengharungi laluan berliku apabila pandangan dan keputusannya sering dibantah oleh kepimpinan parti itu atas alasan "tahaluf siyasi".

Terbaru, keputusan beliau yang sebelumnya menyokong penuh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor mendapat tentangan hebat dari kepimpinan PAS lain yang disifatkan sebagai "pro-Anwar".

Walaupun keputusan Abdul Hadi disokong dan ramai pemimpin pro-ulama, Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS bediri teguh di belakang keputusan tersebut, pendirian Presiden PAS itu gagal dipertahankan di dalam Mesyuarat AJK PAS Pusat, baru-baru ini.

Nama baik dan reputasi politik Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang baru dinamakan itu dikatakan "tercemar" dan dikatakan majoriti akar umbi parti itu malu dengan keputusan "u-turn" PAS berhubung isu krisis Menteri Besar Selangor itu. -KedahNews.com