Hadi Awang Setuju Jika Khalid Bubar DUN?


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada Sultan Selangor sama ada memperkenan atau sebaliknya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Hadi berkata, parti boleh mengemukakan sesiapa sahaja sebagai calon bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun keputusan akhir tetap berada di tangan Sultan.

Pas menerima apa sahaja keputusan Sultan termasuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun), ujarnya lagi.

“Tapi kita berharap perkara seperti itu tidak berlaku,” katanya yang dipetik dari laman Sinarharian.com.my.

Abdul Hadi bertemu dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini bagi menjelaskan keputusan yang dibuat mesyuarat Pas Pusat semalam.

Dalam mesyuarat lebih sejam itu, Pas Pusat yang sebelum ini menyokong kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat pusingan U dengan bersetuju Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dicalonkan untuk menjadi menteri besar yang baru.

PKR bagaimanapun memutuskan hanya Wan Azizah akan dicalonkan bagi menggantikan Abdul Khalid bagi jawatan itu. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com