KUALA LUMPUR – Hamas menafi sekeras-kerasnya laporan media Israel
bahawa anggotanya mendapat latihan mengenai cara melakukan serangan
melalui payung terjun di Malaysia.
Katanya tuduhan tidak berasas itu direka perisik Israel untuk
menjejaskan perpaduan dan sokongan masyarakat antarabangsa yang semakin
meningkat terhadap rakyat Palestin yang sedang menghadapi jenayah perang
dan pembunuhan beramai-ramai oleh regim Zionis.
“Israel mencipta tuduhan itu sebagai cubaan untuk mengalih perhatian
daripada penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan
tenteranya terhadap orang awam, kanak-kanak, wanita dan golongan tua di
Palestin,” kata Hamas melalui kenyataan yang tersiar dalam laman
sesawang rasminya httP://bit.ly/1sekj3.
Kenyataan dalam bahasa Arab itu diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).
Ketika mengulas laporan berita itu semalam, Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia tidak pernah menjalin
sebarang kerjasama ketenteraan dengan Hamas atau pihak lain di Palestin.
Dalam kenyataan pada Jumaat, beliau berkata Malaysia dan Palestin
hanya menjalin hubungan dan kerjasama dalam bidang diplomatik,
perdagangan dan kebudayaan.
“Malaysia juga memberi sokongan besar kepada rakyat Palestin dari
segi moral dan melalui bantuan kemanusiaan. Rakyat Malaysia memberi
sokongan padu berikutan hubungan yang terjalin sejak sekian lama antara
pemimpin Malaysia dan Palestin.
“Inilah yang mungkin menyebabkan Israel tidak berpuas hati,” katanya.
Akhbar dalam talian The Jerusalem Post baru-baru ini memetik seorang
anggota Hamas yang ditahan sebagai berkata Malaysia menjadi tempat
latihan bagi anggota pasukan itu untuk melakukan penyeludupan dan
serangan dari sempadan dengan menggunakan payung terjun.
Laporan itu juga memetik tahanan yang didakwa sebagai anggota Hamas
itu memberitahu Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet) bahawa mereka juga
mengikuti latihan tentang cara menculik anggota tentera sebagai
persiapan untuk menentang Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Gaza. –
BERNAMA