Hanya Kerana Sekaki Payung Nama Petronas Tercalar!


Di sini KedahNews.com ingin berkongsi keluhan pengguna terhadap Petronas yang dilihat seolah-olah menipu orang ramai mengenai pemberian ganjaran sekiranya pelanggan berjaya mengumpul 10 cop dengan isian minyak RM20 untuk satu cop.

Ganjaran yang ditawarkan oleh Petronas tidaklah semewah mana, ia hanya sekaki payung ‘Petronas Primax 5’ edisi terhad.

Dari tinjauan KedahNews.com di laman sosial, kebanyakan pengguna meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Petronas yang dilihat seperti menipu pelanggan kerana gagal memberikan ‘hadiah’ kepada setiap pelanggannya setelah mereka berjaya mengumpulkan 10 cop tersebut.

petronas 1 

petronas 2

petronas 3
Apa yang lebih menghairankan pelanggan, dalam promosi tersebut Petronas ada menyatakan tempoh penebusan ganjaran bagi mereka yang berjaya mengumpulkan 10 cop akan bermula dari 20 Julai dan berakhir pada 30 September 2014 tetapi ia seakan-akan tidak pernah wujud kerana kebanyakan stesen minyak syarikat berkenaan memberi alasan sama ‘kehabisan stok’ kepada mereka.

Adakah ganjaran tersebut adalah satu janji semata-mata? Ataupun Petronas hanya mengeluarkan jumlah payung yang ‘sememangnya terhad’?

Bagi KedahNews.com tindakan Petronas terhadap kesemua pelanggan adalah satu perkara tidak wajar kerana menurut laporan keuntungan syarikat tersebut pada suku tahun kedua dianggarkan berjumlah RM28.1 bilion dan ia jelas bukan satu alasan yang boleh diterima sekiranya mereka gagal menyediakan ganjaran ‘sekaki payung’ dalam kuantiti lebih banyak kepada pelanggannya.

Setiap keluhan pelanggan terhadap perkara tersebut bukan semata-mata satu rungutan sahaja tetapi dari sudut pandangan KedahNews.com ia jelas memalukan negara kerana Petronas merupakan satu produk yang dikeluarkan oleh Malaysia.  –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor