Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad tidak mengaku bersalah
terhadap dakwaan menghasut hari ini berhubung kenyataannya tentang
Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), menjadikannya
ahli politik pembangkang ketiga yang didakwa kerana menghasut dan
memfitnah sejak 7 hari lalu.
Pada 19 Ogos, Naib Presiden PKR N Surendran didakwa selepas
mengeluarkan kenyataan mengenai perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar
Ibrahim sementara bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin didakwa semalam kerana memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak dalam ceramahnya dua tahun lalu.
Turut hadir untuk menyokong Khalid di mahkamah hari ini ialah bekas
Pengerusi Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan Timbalan Presiden
PAS Mohamad Sabu sert Ahli Jawatankuasa PAS Dr Hatta Ramli.
Khalid pada 26 Jun menggesa Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam
(Enakmen No 3, 1952) dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 dikaji
semula.
Beliau membuat gesaan itu selepas Mais gagal mematuhi keputusan
Jabatan Peguam Negara memulangkan semula Bible versi Iban dan Bahasa
Melayu yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) daripada
Persatuan Bible Malaysia.
Pada 15 Julai, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata Khalid biadap
kerana mempersoalkan kedudukannya sebagai ketua agama Islam di negeri
ini.
“Ahli Parlimen Shah Alam itu tidak sepatutnya mempersoalkan kuasa
eksekutif Mais dan mencadangkan kerajaan Pakatan Rakyat memansuhkan
kuasa eksekutifnya.
“Saya sedih dan kecewa dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini,” kata baginda.
Berikutan itu, Khalid berkata, beliau meminta maaf kepada Sultan jika kenyataannya itu difahami sebagai mencabar kuasa baginda.
Khalid bagaimanapun berkata beliau berpegang kepada pendiriannya yang
Selangor perlu mengkaji semula kuasa eksekutif Mais, sambil menambah
bukan niatnya mencabar kuasa Sultan, tetapi hendak melindungi institusi
diraja itu daripada sebarang kritikan sekiranya Mais silap dalam
menjalankan tugasnya.