Seorang pengerusi jawatankuasa di
sebuah masjid menggunakan bahasa agak kasar dan keras ketika menegur jemaah
sehingga menyebabkan sebahagian daripada mereka berkecil hati serta terkilan
dengan teguran itu.
Mereka menganggap kata-kata yang
agak emosional serta tidak sepatutnya diungkapkan hanya disebabkan perkara
kecil yang terlanjur dilakukan oleh jemaah. Akibatnya, segelintir jemaah mula
menjauhkan diri daripada masjid itu dan ada yang memilih untuk berjemaah di
masjid lain.
Hal ini tentulah merugikan kita
pada saat kita sedaya upaya berdakwah untuk mendidik lebih ramai masyarakat
mencintai dan memakmurkan masjid serta surau.
Islam sebagai agama yang syumul
sangat menekankan persoalan berkaitan hubungan dalam masyarakat khususnya aspek
menegur atau menasihati orang lain. Ini penting kerana pendekatan yang betul
akan memberi impak besar dalam hubungan sosial.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahlu, ayat 125)
Adab menegur perlu ikut syariat
Adab dan tatacara menegur perlu mengikut
syariat yang diajar oleh Islam melalui contoh akhlak ditunjukkan Rasulullah SAW
serta sahabat. Antara adab Islam ketika menegur adalah menggunakan kata-kata
yang baik, sesuai serta difahami oleh orang yang ditegur.
Nada dan intonasi digunakan ketika
berbahasa juga akan menjadi penilaian sama ada teguran itu dianggap lunak,
lemah lembut, bersopan atau sebaliknya.
Perkara kedua yang perlu
ditekankan ketika menegur ialah jangan sesekali merendahkan ego terhadap orang
yang ditegur. Ini penting kerana setiap orang mempunyai ego masing-masing.
Justeru, sikap bijaksana dan berhati-hati perlu dijadikan teras ketika
berhadapan dengan mereka.
Kemungkinan orang yang hendak
ditegur itu sedang ditimpa musibah atau masalah emosi yang boleh menyebabkan
mereka mengeluarkan kata-kata kurang ajar selepas ditegur. Banyak kes yang
berlaku orang yang ditegur bertindak balas secara kekerasan hingga berlaku
permusuhan.
Perkara ketiga perlu diambil
berat ialah mencari waktu atau masa yang tepat dan bersesuaian. Nabi Muhammad
SAW melarang kita menegur seseorang di hadapan khalayak ramai kerana ia boleh
menimbulkan perasaan aib.
Justeru, tegurlah ketika
seseorang itu berada dalam keadaan bersendirian atau di tempat yang tertutup
supaya teguran kita diterima dengan senang hati. Perhatikan juga raut wajah
serta perwatakan supaya maruah dan harga diri mereka terpelihara daripada
umpatan dan dipandang serong oleh orang lain.
Aspek seterusnya adalah memahami
dan menyelami kedudukan seseorang yang ditegur. Setiap individu mempunyai
pangkat, kerjaya serta darjat dalam masyarakat sama ada tinggi, rendah atau
sederhana.
Orang yang berpendidikan atau
memiliki kerjaya hebat perlu ditegur dengan hujah ilmiah melalui perbahasan
bijaksana serta berilmu. Selain itu, fakta dan nas yang betul perlu dijadikan
sandaran demi menegakkan kebenaran yang ingin dipertahankan.
Hal ini ditegaskan oleh
Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: “Barang siapa yang melihat kemungkaran
dalam kalangan kamu hendaklah dicegah dengan tangan (kuasa). Sekiranya tidak
mampu hendaklah dicegah dengan lidah (nasihat). Jika tidak mampu juga cegahlah
dengan hati (niat). Maka itu adalah serendah-rendah iman.”
Dakwah secara lemah lembut
Setiap rasul yang diutuskan Allah
SWT kepada umat mereka akan menggunakan kaedah dakwah menyampaikan kebenaran
secara lemah lembut, tertib, bersopan santun serta menjauhi daripada ungkapan
yang emosional, celupar atau penggunaan kata-kata kesat.
Nabi Musa dan Nabi Harun sewaktu
berhadapan dengan Firaun menunjukkan kebaikan melalui kata-kata yang lunak dan
berhemah meskipun berhadapan dengan kebiadapan serta kezaliman Firaun.
Rasulullah SAW sentiasa
menggunakan bahasa yang baik dan bijaksana sewaktu berdialog serta berhujah
dengan golongan Musyrikin atau Yahudi ketika menyampaikan kebenaran agama Islam
kepada mereka.
Masyarakat Melayu sejak zaman
nenek moyang lagi menggunakan kaedah menegur secara halus dan sinis termasuk
menggunakan bidalan, perumpamaan serta kata-kata pepatah supaya orang yang
ditegur tidak mudah berasa hati atau cepat melenting.
Wajarlah dalam hal ini,
pendidikan menegur dengan bahasa yang betul dan berlapis dijadikan amalan dalam
masyarakat demi memastikan silaturahim, kerukunan terus utuh yang membentuk
tembok kukuh membina generasi teguh, berprinsip serta cinta-mencintai sesama
sendiri.
Sumber: Berita Harian