Kuala Lumpur – Tindakan masih boleh diambil terhadap seorang
lelaki yang mengeluarkan kata-kata hinaan di laman sosial Facebook (FB)
kerana tidak berpuas hati apabila bacaan ayat al-Quran menerusi pembesar
suara pada awal pagi mengganggu tidurnya, walaupun dia sudah memohon
maaf dan memadamkan status itu.
Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Polis Diraja
Malaysia (PDRM) Datin Asmawati Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan
daripada orang awam berhubung perkara itu.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenalpasti pemilik akaun FB berkenaan.
“Jika didapati bersalah dia boleh dikenakan tindakan sewajarnya.
“Walaupun dia sudah memohon maaf namun tindakan sewajarnya akan tetap dikenakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Lelaki itu dipercayai memuat naik status berkenaan menerusi akaun FB
di bawah nama Kelvin Yip kerana tidak berpuas hati ayat suci dibaca pada
sekitar jam 6.45 pagi.
Menerusi status itu, lelaki terbabit meminta umat Islam membaca doa
kepada Allah tanpa menggunakan pembesar suara kerana merasakan ia
menjengkelkan.
Kenyataan lelaki itu menimbulkan kemarahan pengguna laman sosial
beragama Islam sehingga mengecam perbuatan yang dianggap mengganggu
sensitiviti masyarakat.
Selepas status itu menjadi viral di Internet, lelaki terbabit
kemudian meminta maaf terhadap orang ramai menerusi akaun FB miliknya
dan memadamkan status itu.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam satu
kenyataan hari ini menyarankan agar tindakan setimpal dikenakan ke atas
lelaki itu.
“Lelaki itu masih perlu dikenakan tindakan walau pun sudah meminta
maaf atas tindakannya memuat naik status berbaur hinaan di FB yang turut
menimbulkan kemarahan masyarakat.
“Lelaki yang menggunakan nama Kelvin Yip di FB itu masih boleh didakwa untuk memberi pengajaran,” katanya.
Dalam kenyataannya itu, Khairy turut membandingkan kes terbabit
dengan kejadian membabitkan Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin, 30, atau
dikenali sebagai Kiki, yang tetap didakwa di mahkamah walau pun sudah
meminta maaf atas perbuatan khianat ke atas seorang warga emas dalam
kemalangan jalan raya.
“Kiki minta maaf tapi kena dakwa (dan sememangnya patut). Yang ini
pun kena dakwa. Kasi ajar sikit, biar muktamad. Bertindak tegas dan
cepat pada siapa saja tak kira kaum,” katanya di laman FB.
Mahkamah Seksyen Kuantan pada 22 Julai lalu memerintahkan Siti
Fairrah menjalankan khidmat masyarakat selama 240 jam dan membayar denda
RM5,000 selepas mengaku salah atas kesalahan khianat mengikut Seksyen
427 Kanun Keseksaan.
Kiki mengaku bersalah mengetuk bahagian depan bonet dan cermin depan
kereta milik Sim Hiak Hong, 68, dengan menggunakan pengunci stereng
kereta sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM500. – Harian Metro