KUALA LUMPUR – Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) mempertikaikan
keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu menggantikan Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Datuk Seri Dr. Wan Azizah
Wan Ismail.
Timbalan Presidennya, Mazli Noor berkata, kajian yang dilakukan
pelbagai pihak ke atas prestasi Selangor sebelum ini menunjukkan
populariti Abdul Khalid amat konsisten dan seiring dengan kehendak
rakyat Selangor.
“Oleh sebab itu, Ilmuan menggesa agar maklumat kajian tersebut tidak
diketepikan dan perlu diterima dengan sejujur-jujurnya dalam
mempertimbang untuk mengganti atau mengekalkan Menteri Besar Selangor
sedia ada,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mazli berkata, senario politik yang berlaku di Selangor itu
mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri terpenting di Malaysia
yang menyumbang lebih 23 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) negara.
Menurutnya, hal yang menimbulkan keresahan para pegawai kerajaan dan pelabur itu turut mengganggu-gugat senario di negeri lain.
Justeru, beliau menggesa pimpinan PKR meletakkan kepentingan rakyat
sebagai keutamaan tertinggi dalam isu itu mengatasi kepentingan
organisasi masing-masing apatah lagi kepentingan peribadi mana-mana
tokoh.
Katanya, Ilmuan turut merayu supaya pilihan raya semula tidak
diadakan di Selangor kerana menyusahkan rakyat dan menimbulkan beban
kewangan kepada kerajaan.
Dakwanya, langkah tersebut tidak menghormati mandat rakyat yang baru
berusia lebih setahun dan boleh menyemarakkan budaya politik gelojoh dan
emosional yang menjauhkan masyarakat tidak matang dalam
bersosio-politik.
“Pimpinan politik hendaklah merasa bertanggungjawab dalam mendidik
masyarakat ke arah budaya bersosio-politik yang matang dan tenang
berasaskan budaya keilmuan yang sepatutnya menjadi amalan dalam sebuah
masyarakat sivil,” katanya.
Namun, jelas beliau, jika pilihan raya Selangor terpaksa diadakan
juga, maka Ilmuan menggesa rakyat Selangor mengambil iktibar daripada
senario politik itu memilih parti politik pemerintah yang lebih baik,
amanah, berani dan jujur. -Mynewshub.my