Tindakan seorang pegawai polis membawa isteri dan anaknya untuk mengaburi pihak berkuasa tidak berhasil selepas dia ditahan ketika cuba menyeludup keluar kereta mewah Toyota Vellfire di sempadan Malaysia-Thailand Bukit Kayu Hitam, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, pegawai polis berpangkat inspektor berusia 40-an itu dipercayai membawa isteri serta anaknya bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam usahanya membawa masuk kereta curi berkenaan ke Thailand.
Difahamkan, suspek bertugas di Jabatan Logistik Bukit Aman bersama isterinya berusia 30-an serta anak perempuannya berusia lima tahun itu ditahan dalam cubaan keempat mereka menyeludup keluar kereta curi.
Suspek ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam di sekatan jalan raya UPP selepas menerima risikan.
“Suspek mengaku cuba membawa masuk kereta curi ke negara jiran, malah menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kereta itu sebelum ditahan di kilometer 1.3 Jalan Bukit Kayu Hitam, di sini.
“Ketika ditahan suspek membawa beg pakaian dirinya serta keluarga di dalam kereta dipercayai untuk bermalam di negara jiran sebelum pulang ke tanah air.
“Kami tidak pasti sama ada suspek beroperasi sendirian di dalam sindiket itu atau mengambil upah membawa masuk kereta daripada sindiket lain,” kata anggota UPP yang dipetik dari laman Hmetro.com.my.
Menurutnya , pihak UPP tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana masih dalam siasatan.
“Kereta dipandu suspek dilaporkan hilang pada 3 Oktober 2012 di Subang Jaya, Selangor.
“Kami akan mendapatkan kerjasama daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bagi tindakan lanjut,” katanya lagi. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com