Jangan Akal Mendahului Wahyu

Jangan akal mendahului wahyu

SEJAK kebelakangan ini pengaruh golongan ‘aqalaniyyun (mendahului logik akal daripada wahyu) meresap dalam jiwa umat Islam.

Setiap sesuatu ia diambil kira atas pertimbangan akal atau logiknya terlebih dahulu. Walaupun sudah ada dalil al-Quran atau hadis, apabila bertentangan dengan logiknya, maka logik lebih didahulukan daripada dalil syarie.

Ini disebut sebagai talbis iblis (perangkap syaitan) yang berlaku kepada ahli kalam/ falsafah. Oleh itu bagaimanakah mengatasi supaya akal menuruti dalil wahyu.

Kita harus memahami, setiap insan beriman hendaklah bersikap patuh dan tunduk kepada ALLAH SWT dan RasulNya. Setiap wahyu iaitu al-Quran dan hadis itu berasal daripadaNya.

Rasul memiliki kewajiban untuk menyampaikan wahyu tersebut. Sedangkan kita memiliki kewajiban untuk menerima wahyu tadi secara lahir dan batin.

Di sisi ahlus sunnah, satu hal yang sudah jelas dalam akidah bahawa dalam memahami agama ini harus selalu mendahulukan al-Quran dan as- Sunnah berdasar pemahaman Salafus Sholeh dibandingkan akal.

Manakala ada sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran dan sunnah harus kita singkirkan. Hal ini berdasarkan apa yang ALLAH jelaskan dalam kitabNya dan Rasulullah SAW sebutkan dalam sunnahnya, antaranya: 
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului ALLAH dan RasulNya dan bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Hujurat: 1)
 
Imam Muhammad Syihah Az Zuhri mengatakan: 
“Wahyu berasal daripada ALLAH. Rasulullah SAW hanyalah menyampaikan kepada kita. Sedangkan kita diharuskan untuk pasrah (menerima).” (Riwayat Bukhari dalam Kitabut Tauhid secara mu’allaq yakni tanpa sanad)

ALLAH berfirman maksudnya: 
"Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila ALLAH dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai ALLAH dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.” (Surah Al-Ahzab: 36)

Ibnul Qayyim RHM memberi komentar ayat ini:
 "Ayat ini menunjukkan jika telah ada ketetapan dari ALLAH dan RasulNya dalam setiap masalah baik dalam permasalahan hukum atau pun berita (seperti permasalahan akidah), maka seseorang tidak boleh memberikan pilihan selain pada ketetapan ALLAH dan RasulNya tadi lalu dia berpendapat dengannya. Sikap berpaling kepada ketetapan selain ALLAH dan RasulNya sama sekali bukanlah sikap seorang mukmin.

Dari sini menunjukkan sikap semacam ini termasuk menafikan (menidakkan) keimanan.” (Zadul Muhajir-Ar Risalah At Tabukiyah, hal. 25)

Dari pokok agama ini, muncul sebuah firqah yang menyimpang, menyangka akal mempunyai tempat dalam masalah £asyri’(penentuan syariat) dan dapat menentukan yang baik serta yang buruk. Akibatnya mereka membuat bidaah dalam agama ALLAH ini dengan sesuatu yang tidak termasuk dalam agama.


Menghalalkan sesuatu yang haram

Antaranya ketika khamar (arak) diharamkan dan al-Quran turun untuk menjelaskan keadaan orang yang meninggal sebelum diharamkannya khamar, padahal dahulu orang itu meminumnya. Sebagaimana firman ALLAH bermaksud: 
"Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu.... “(Surah Al-Maa’idah: 93)
 
Ada sekelompok orang yang menakwilkan —begitulah mereka disebut— khamar dihalalkan, kerana masuk dalam firmanNya: 
"Kerana memakan makanan.... “(Surah Al-Maidah: 93)

Ismail bin Ishaq menyebutkan dari Ali RA, dia berkata: “Beberapa orang penduduk Syam meminum khamar, lalu Yazid bin Abu Sufyan bermaksud menghukum mereka.

Orang-orang itu kemudian menjawab, ‘Khamer itu bagi kami halal?’ Mereka menakwilkan ayat, ‘Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman.... ‘(Surah Al Maidah: 93)

Yazid lalu menulis surat kepada Umar RA —perawi berkata— kemudian Umar membalas suratnya: 
"Bawalah mereka kepadaku sebelum mereka merosak orang-orang yang ada disekitarmu.’ Ketika mereka sampai di hadapan Umar, dia mengajak orang-orang untuk bermusyawarah. Mereka berkata kepada Umar: "Wahai Amirul Mukminin, kami memandang mereka berdusta atas nama ALLAH dan mensyariatkan sesuatu yang tidak diizinkan ALLAH, maka penggallah leher mereka."
 
Sementara itu Ali RA diam saja. Umar kemudian berkata:
 "Wahai Abu Hasan, bagaimana pendapatmu?" Ali berkata: "Aku melihat, engkau minta mereka untuk bertaubat, jika mereka bertaubat sebatlah mereka 80 kali kerana meminum khamar, namun jika tidak mahu bertaubat penggallah leher mereka, sebab mereka berdusta atas nama ALLAH dan mensyariatkan sesuatu yang tidak diizinkan ALLAH."
 
Perhatikanlah, mereka menghalalkan sesuatu yang diharamkan ALLAH dengan takwil terhadap nash al-Quran, kemudian Ali RA dan sahabat melihat mereka mensyariatkan sesuatu yang tidak diizinkan ALLAH. Seperti inilah yang namanya bidaah.


Ini satu sisi

Demikian juga dilakukan sebahagian ‘filosofi Islam’ mereka mentakwilkan dengan bentuk yang lain. Mereka berdalil meminum khamar tujuannya adalah mendapatkan manfaat, bukan untuk sesuatu yang melalaikan al-Quran.

Bahkan mereka bersumpah kepada ALLAH atas itu, seakan-akan khamar bagi mereka adalah ubat atau gizi  yang bermanfaat bagi kesihatan mereka.

Dikisahkan ini juga menjadi kebiasaan ahli falsafah. Mereka dikenal menghabiskan waktu malamnya untuk ilmu, menulis, dan meneliti menggunakan bantuan khamar. Jika diri mereka mulai malas atau payah, maka dia minum secukupnya untuk membuatnya bersemangat.

Mereka mengatakan khamar memiliki daya panas spesifik, sehingga jiwa menjadi baik. Khamar menurut mereka boleh memperbagus gerak, fikiran dan pengetahuan.

Jika digunakan dalam takaran yang sedang, seseorang akan dibuat mengetahui dan memahaminya dengan baik, bahkan mengembalikan ingatan ketika terlupa.

Oleh kerana itu, ahli falsafah dulu menggunakannya. Namun semua itu adalah kesesatan nyata. Kita berlindung kepada ALLAH daripada hal demikian.


Sumber : Sinar Harian