Jangan Sampai PAS, PKR Dibenci Rakyat - Sayuti


Penulis politik pro-Pakatan Rakyat, Mohd Sayuti Omar memberi amaran kepada PAS dan PKR supaya tidak berkelakuan jengkel hingga menimbulkan rasa benci di kalangan rakyat Malaysia terhadap kedua parti itu.

Ekoran keputusan yang mengelirukan dan tidak sealiran dalam pelbagai isu sejak kebelakangan ini di antara kedua parti tersebut, Mohd Sayuti menganggap tindakan-tindakan yang diambil dua parti itu sangat membingungkan.

Penulis pro-Pakatan Rakyat itu juga mengkritik keperluan akuan bersumpah 13 ADUN PAS yang didesak PKR untuk mengakui Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar baharu untuk Selangor.

"Perkembangan terbaru ini membingungkan. Kalau keputusan sudah dibuat dalam majlis pimpinan presiden kenapa pula harus ada SD. 

"Apabila ada SD bermakna konsesus majlis pimpinan presiden tidak kuat dan tidak laku. Bukankah situasi itu menyebabkan orang ramai akan gelak sinis kepada majlis presiden dan mempertikaikan akan autoriti yang ada kepadanya.

"Pas dan PKR buatlah sesuatu jangan sampai nanti orang ramai membenci anda dan kerana kebencian itu mereka akan berpaling kepada Umno semula, melihat parti itu sebagai terbaik berbanding Pas dan DAP berdasarkan fiil-fiil yang ada hari ini," katanya.

PAS sebelum ini disifatkan sangat mengecewakan akar umbi parti itu setelah membuat "pusingan-U" membuat keputusan menerima Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor meskipun Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum itu menegaskan beliau menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pendirian Presiden PAS itu turut disokong Dewan Ulama PAS, golongan pemimpin pro-Ulama PAS dan Majlis Syura parti yang bersidang sebelum keputusan itu "ditanam hidup-hidup" dalam mesyuarat AJK PAS Pusat yang dikatakan telah dikuasai pemimpin PAS liberal dan pro-Anwar.

Sementara itu, PKR pula turut dikritik hebat apabila bertindak menggulingkan Khalid dari kerusi Menteri Besar dengan cara yang menjijikkan di pandangan ramai.

Khalid disifatkan sebagai Menteri Besar yang sangat berintergriti, terbaik dan telus oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai pemimpin PKR pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, namun berubah arah selepasnya dengan melancarkan "Langkah Kajang". 

Tindakan kedua parti tersebut dikatakan telah menjejaskan kreadibiliti dan hala tuju politik masing-masing, serta mempamerkan sikap politik tidak sihat di padangan mata rakyat. -KedahNews.com