SHAH ALAM - Setiausaha Agung PKR,
Dato’ Saifuddin Nasution Ismail tidak mahu memberikan sebarang komen berhubung
dakwaan Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor Rabu lalu yang
menyebut beberapa nama termasuk namanya.
Beliau berkata, tiada apa yang
perlu dijawab untuk isu tersebut.
"Saya sudah mengambil
ketetapan, berdiam diri lebih banyak kebaikannya daripada saya menjawab,"
katanya ringkas kepada Sinar Harian, semalam.
Ditanya berkemungkinan akan ada
sidang media khas berhubung perkara itu, Saifuddin menafikannya.
"Tidak.. pendirian saya
jelas, tidak mahu menjawab apa-apa walaupun di mana sahaja, tiada sidang media
atau sebagainya," katanya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi
menerusi akaun Facebooknya berkata, kenyataan Saifuddin dan Pengarah Strategi
PKR, Rafizi Ramli yang menjadikan krisis di Kedah di bawah pentadbiran PR sebelum
ini sebagai contoh terhadap situasi yang berlaku di Selangor sama sekali tidak
wajar serta berlainan sama sekali.
Menurutnya, situasi kemelut yang
berlaku di Selangor tidak sama dengan krisis yang pernah berlaku dalam PR di
Kedah, malah perbandingan antara kedua-duanya juga tidak setara.
Dalam perkembangan sama, Muhammad
Sanusi turut mencabar Saifuddin supaya menunjukkan satu bukti yang mengaitkan
beliau dengan tuduhan isu berkaitan balak, tanah, projek, pasir seperti
disampaikan pegawai tadbir kerajaan negeri (KCS), exco dan adun Pas hingga
menganggapnya 'persis ayam berkokok tetapi ekor bergelumang najis'.
Sumber : Pilihan Anda