Jawatan MB Selangor: Wan Azizah Kemungkinan Sukar Dapat Perkenan Oleh Sultan

Wan Azizah Wan Ismail

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan Pakatan Rakyat (PR) sebagai calon Menteri Besar (MB) tetap perlu menanti perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyandang jawatan tersebut.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, meskipun PR telah memilih calon Menteri Besar Selangor, namun keputusan akhir tetap terletak di tangan Sultan Selangor.

Malah beliau menjangkakan, perjalanan Wan Azizah dalam usaha mendapatkan perkenan Sultan Selangor agak sukar.

“Perjalanan Azizah agak sukarlah sebab sekarang ini, mahu atau tidak, beliau tetap perlu mendapat restu daripada Sultan.

“PR sudah menyatakan sokongan kepada Azizah, jadi, dia kena kemukakan bukti kepada Sultan mengatakan bahawa dia mendapat sokongan majoriti.

“Selepas itu kena tunggu Sultan buat keputusanlah,” katanya yang dipetik dari laman Sinarharian.com.my, hari ini.

Menurutnya, andai Sultan Selangor tetap menolak Wan Azizah, PR perlu mengemukakan calon lain ataupun baginda mungkin akan memanggil kesemua Adun PR bagi memilih siapa yang layak untuk jawatan itu.

“Cuma sekarang ini sama ada Sultan setuju atau tidak setuju untuk terima Azizah. Kalau Sultan tak setuju juga, mungkin Sultan kena panggil semua ahli PR untuk bermesyuarat bagi memilih siapa yang layak untuk menjadi MB.

“Tapi nampaknya agak sukarlah kerana nama yang dicadangkan itu hanya satu. Jadi saya rasa, bergantung pada mesyuarat Sultan dengan PR untuk tentukan,” katanya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlakunya pilihan raya sekiranya isu menteri besar ini tetap tidak menemui jalan penyelesaian. -  Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com