Kapten Datuk Missman Leham (gambar dipetik dari Awani) |
SEPANG – Ketua Juruterbang, Kapten Datuk Missman Leham menyifatkan
tugasan membawa pulang 20 jenazah tragedi Malaysia Airlines (MAS) MH17
yang tiba di tanah air pada Jumaat lepas adalah ‘penerbangan paling
sukar’ baginya sejak menyertai MAS 33 tahun lalu.
Missman berkata penerbangan selama 12 jam itu juga merupakan
penerbangan paling emosi buatnya kerana beliau tahu siapakah ‘penumpang’
istimewa pesawat khas MH6129 selain mengenali secara peribadi
sebahagian mereka.
“Dua, tiga hari sebelum berlepas sudah rasa sedih, sebab kita tahu
ini penerbangan paling penting dan dinantikan ramai, khususnya kepada
waris mangsa,” katanya semasa ditemui selepas istiadat penghormatan
jenazah tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Missman bersyukur kerana penerbangan yang membawa 20
jenazah itu dimudahkan, bukan sahaja dari sudut cuaca yang baik, namun
mendapat kerjasama daripada semua negara yang dilaluinya.
Katanya setiap negara yang dilalui memberi penghormatan tinggi kerana mengetahui pesawat itu membawa muatan penting.
“Contohnya seperti di Iran. Lazimnya apabila melintasi negera itu,
mereka akan meminta ‘entry number’ tetapi kali ini awal-awal lagi mereka
sudah maklumkan kita.
“Mereka beritahu tidak perlu entry number, pesawat boleh teruskan
penerbangan. Mereka selalunya begitu tegas dalam hal ini,” katanya.
Mengimbas kenangan mengemudikan pesawat itu, Missman berkata beliau
tidak putus-putus menyedekahkan al-Fatihah kepada mangsa beragama Islam
dan bertafakur untuk agama lain.
“Sebelum memulakan penerbangan, saya sempat ‘berjumpa’ dengan mereka
(jenazah). Saya cakap kepada Hakimi (pembantu juruterbang MH17 Ahmad
Hakimi Hanapi) dan rakan-rakan, kami akan bawa kamu balik. Kamu akan
berjumpa dengan orang yang dikasihi,” katanya.
Pada penerbangan itu, Missman dibantu Kapten Bakri Othman dan Kapten Zaim Khalid serta pegawai penerbangan Yap Yoon Kong.
Ditanya apakah yang menyebabkan beliau dipilih untuk memikul
tanggungjawab itu, Missman berkata ia berkemungkinan kerana MAS mahu
juruterbang senior untuk mengemudi pesawat itu.
Sejak diarahkan, Missman tidak putus-putus berdoa supaya penerbangan itu berjalan lancar dan tidak menghadapi masalah.
“Alhamdulillah, doa itu dimakbulkan,” katanya.
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam
ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di
wilayah Donetsk, timur Ukraine.
Seramai 43 rakyat Malaysia terbunuh dalam insiden itu. – BERNAMA