Jabatan Kastam Diraja Malaysia
(KDRM) menasihati orang ramai agar tidak terperdaya dengan pihak yang mengaku
menjadi perunding kepada urusan lelongan kereta mewah yang dirampas jabatan
itu.
Penolong Ketua Pengarah KDRM
(Penguatkuasaan), Datuk Hassan Ibrahim berkata pihaknya hanya membuka lelongan
awam menerusi laman web rasmi jabatan.
“Lelongan tidak dilaksanakan
menerusi khidmat orang tengah, khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun aplikasi
Whatsapp,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata terdapat pihak
yang telah menyebarkan iklan palsu menerusi Whatsapp mengenai lelongan awam
kastam iaitu ‘Car from port, all cars are seized from the Custom officer’.
Iklan itu mendakwa mereka
merupakan pihak yang menggendali lelongan dan orang ramai yang berminat
membelinya perlu membuat bayaran secara tunai.
Hassan berkata harga kereta yang
ditawarkan menerusi iklan itu seperti BMW M3 dan Volkswagen Polo adalah pada
kadar yang tidak munasabah.
“KDRM hanya melelong kereta
secara tender dan tidak ada istilah orang tengah untuk membantu menguruskan
lelongan kereta yang dirampas,” katanya.
Beliau berkata lelongan dibuat
mengikut bidaan tertinggi dengan pembida perlu meletakkan deposit
sekurang-kurangnya 10 peratus dari harga kenderaan yang dibida dan sekiranya pembidaan
gagal, wang deposit akan dikembalikan.
Sumber : BERNAMA