ALOR SETAR 28 Ogos – Negeri Kedah
mempunyai cukup syarat untuk muncul sebagai sebuah negeri yang maju
dalam bidang pelancongan meliputi pelbagai aspek menjelang Tahun Melawat
Kedah 2016.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal
Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB.
Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, khazanah yang ada dari segi
sejarah, alam sekitar, kebudayaan dan kesultanan mampu melengkapkan
syarat berkenaan untuk meningkatkan bilangan pelancong ke negeri ini.
Menurutnya, tumpuan utama kini lebih
memfokuskan kepada usaha untuk menanam semangat sayangkan negeri ini
dalam kalangan rakyat melalui bidang pelancongan.
“Pelaksanaan ini memerlukan penglibatan
semua pihak termasuk saya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Kedah (EXCO) Pelancongan, guru sejarah, pegawai kerajaan dan pegawai
tadbir Kerajaan Negeri untuk menceritakan kelebihan negeri ini kepada
orang luar.
“Kita tidak boleh mengharapkan
Kementerian Pelancongan untuk berbuat demikian kerana mereka mempunyai
banyak lagi tugas lain dalam mempromosikan tempat pelancongan di negeri
lain. Kita sendiri perlu memainkan peranan itu kerana lebih dekat dengan
tempat ini,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, tarikan pelancong
lebih kepada ingin mengetahui kisah di sesuatu tempat bukan hanya
sekadar melawat lokasi berkenaan semata-mata. -Kedah.gov.my