Kediaman Menteri Sarawak Ditembak Dengan Senapang Patah


Beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kediaman Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Sri Wong Soon Koh, yang terletak di Jalan Ipoh di sini, antara 8.15 hingga 8.30 malam semalam.

Isteri Wong, Datin Sri Leong Poh Ling berkata tembakan itu mengenai tingkap sebuah bilik tidur di tingkat satu yang menghadap jalan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun semua anggota keluarga berada dirumah ketika kejadian itu berlaku.

Leong berkata insiden itu hanya disedari pagi ini apabila anak lelakinya ternampak serpihan cermin tingkap di atas lantai bawah langsir.

Leong mendakwa, beliau ada mendengar bunyi letupan yang sangat kuat antara 8.15 hingga 8.30 malam semalam.

“Saya melihat ke luar tingkap tapi tak nampak apa-apa pun. Saya sangkakan tayar kereta atau komputer riba seseorang yang meletup,” kata Leong.

Sebaik mendapati serpihan cermin tingkap dan lubang yang menembusi satu lagi cermin tingkap, beliau segera memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Anak lelaki Wong, Datuk Andrew Wong Kee Yee berkata beliau tidak pasti siapa yang menjadi sasaran orang yang melepaskan tembakan itu.

Andrew Wong, merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, berkata beliau percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan tugasnya yang termasuk menyelesaikan masalah penjaja di bandar ini.

“Walau apapun sebabnya, ini tidak betul. Kami menyerahkan kepada polis untuk menyiasat,” kata Andrew.

Timbalan Ketua Polis Sibu Supt Martin Koo mengesahkan tembakan itu dilepaskan ke arah rumah berkenaan menggunakan selaras senapang patah.

“Kami menjumpai satu kelongsong peluru dan sembilan peluru penabur di beberapa tempat di perkarangan rumah, betul-betul di bawah bilik tidur. Kami masih menyiasat,” katanya. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com