Kejam..!!! #OpSaveGaza #PrayForGaza

Foto
Muhammad Abu Khudair bukan yang pertama menjadi mangsa kekejaman rejim Yahudi, tetapi kematian remaja 16 tahun itu membuka satu lagi lembaran dalam perjuangan rakyat Palestin kerana ia boleh dianggap permulaan kepada gelombang intifada ketiga.

Namun ternyata bukan sekadar intifada yang berlaku, malah lebih parah daripada itu. Bulan Ramadan yang suci dicemari oleh puak Zionis dengan melancarkan serangan besar-besaran ke atas bumi Gaza yang sehingga kini mengorbankan lebih 120 nyawa. 

Dengan alasan memburu pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam, tentera rejim Zionis itu membedil kawasan penempatan Palestin tanpa mengira siapa yang menjadi korban. Roket Israel meruntuh dan menghancurkan rumah, bangunan awam dan masjid.

Jauh sebelum Muhammad Abu Khudair, beribu-ribu remaja dan kanak-kanak Palestin menjadi korban keganasan Yahudi, tetapi dia menjadi tumpuan kerana kematiannya sangat mengerikan selepas dibakar hidup-hidup oleh tentera Israel.

Semuanya berpunca daripada kehilangan tiga remaja Yahudi pada awal bulan ini yang sehingga kini masih gagal dikesan. Media Israel mendakwa remaja berkenaan diculik oleh kumpulan Hamas dan sebagai tindak balasnya, tentera Yahudi menyerbu Tebing Barat.

Mereka menahan beratus-ratus rakyat Palestin, memukul, malah menyeksa orang yang disyaki membantu Hamas. Akibatnya, umat Palestin bangkit melakukan intifada serta protes dan ruang ini yang digunakan oleh rejim Yahudi untuk menahan orang Palestin.

Pada masa sama, ektremis Yahudi turut bertindak dan seorang mangsa mereka adalah Muhammad Abu Khudair. Dia diculik dan dibakar hingga mati. Lebih 90 peratus anggotanya melecur. Upacara pengebumiannya dihadiri ribuan rakyat Palestin.

Kira-kira 14 tahun lalu, peristiwa hitam turut berlaku membabitkan seorang remaja Palestin yang kemudian mencetuskan intifada pertama. Tragedi 30 September 2000 itu menyebabkan Muhammad Al-Durrah, 12, terkorban di pangkuan ayahnya Jamal Al-Durrah.

Kedua-dua terperangkap dalam pertempuran antara tentera rejim Zionis dan pihak berkuasa Palestin. Ketika berselindung di tembok, Muhammad terkena tembakan di kaki. Namun, dia gugur apabila empat peluru tentera Yahudi hinggap di tubuhnya.

Sungguh kejam tentera Yahudi laknat ini dan yang anehnya, tidak ramai yang berani mengecam atau menegur apabila tentera Israel menyerang bumi Gaza dan membunuh umat Palestin yang tidak berdosa, khususnya di kalangan negara Arab sendiri.

Arab Saudi enggan masuk campur, manakala Mesir bukan sekadar menyekat bantuan kemanusiaan, malah bertindak menutup sempadannya dengan Palestin dan terowong yang sering digunakan rakyat Palestin untuk membawa masuk bahan makanan.

Jika ada yang mengutuk tindakan Israel itu hanya di kalangan negara sahabat seperti Malaysia, Turki, Indonesia dan Russia.

Namun apabila pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam menyerang balas, banyak negara Eropah dan Amerika yang mengutuknya.

Apa yang kita bimbangkan ialah sampai bila Israel dibiarkan bertindak sesuka hati terhadap rakyat Palestin dan sampai bila pula kita mahu melihat darah terus mengalir dan korban terus berguguran di bumi anbia itu?

Betapa pilunya hati melihat mayat wanita dan kanak-kanak bergelimpangan, ayah memangku mayat anak kecil yang belum pun lagi mengenali dunia, manakala ahli keluarga membersihkan timbunan batu untuk mencari jasad isteri, anak dan cucu yang tertimbus.

Sememangnya, kita mungkin tidak melihat sendiri semua itu, tetapi kecanggihan teknologi membolehkan gambar dan video bersilih ganti dipaparkan dalam media. Langit yang terbuka tidak membolehkan rejim Yahudi menyembunyikan kekejaman mereka lagi. -MyMetro