Kelvin Yip Bakal Dikenakan Tindakan Tegas


Kertas siasatan telah dibuka oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook yang dikatakan telah mencetuskan kemarahan kerana menghina agama Islam, Kelvin Yip.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa menyatakan bahawa pihak PDRM telah menerima 28 laporan polis terhadap Kelvin.

"Saya sedar bahawa terdapat banyak gesaan daripada orang ramai yang mahu tindakan diambil terhadap Kelvin Yip. Kami telah menerima laporan dan akan mengambil tindakan selepas siasatan selesai," kata Tajuddin yang dipetik dari laman Utaranews.com.

Status Facebook Kelvin yang dikatakan telah menaikkan kemarahan umat Islam tersebut berbunyi; "Eh, hello…I know it’s Hari Raya and all, but please keep your prayers to the almighty off some loudspeaker at 6.45 in the morning...annoying (Eh, hello ... saya tahu ia adalah Hari Raya, tetapi tidak perlu bersembahyang kepada maha kuasa dengan pembesar suara pada 6.45 pagi ... menjengkelkan.")

Oleh itu, Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung status berkenaan bagi mendesak agar PDRM mengambil tindakan dengan tegas dan pantas.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abu Rahim telah mempersoal kreadibiliti polis kerana lambat bertindak terhadap Kelvin tetapi boleh bertindak pantas terhadap Fairrah Ashykin Kamaruddin (Kiki) dan penceramah bebas, Ustaz Shahul Hamid.

Kiki ditahan tanpa laporan polis dan telah dikenakan tindakan di mahkamah dalam tempoh terdekat kerana telah 'mengamuk' terhadap seorang lelaki yang merempuh keretanya di Pahang.

Manakala Ustaz Shahul pula didakwa kerana mengeluarkan kenyataan menghina agama hindu dalam ceramahnya di Pulau Pinang. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com