Kemasyhuran Mampu Binasakan Umat Islam


SATU perkara yang menjadi keinginan manusia ialah kemasyhuran kerana ia kepuasan dalam kehidupan menurut pandangan sebahagian masyarakat hari ini khususnya mereka yang berkedudukan.

Ada menganggap kemasyhuran adalah matlamat hidup di mana mereka yang mendapat kedudukan akan mendapat segala-galanya dalam kehidupan.

Hakikatnya, kemasyhuran, kedudukan tinggi dan glamor adalah racun berbisa yang membinasakan pemiliknya di akhirat jika tidak dijaga dengan betul mengikut acuan agama.

Kebimbangan terhadap perkara ini haruslah diberi perhatian kerana penilaian Allah SWT terhadap seseorang adalah melalui hati yang ikhlas dan suci.

Sifat zuhud digalakkan Islam kerana memelihara seseorang daripada sifat riak dan takbur menjadi virus perosak berpotensi menghapuskan amalan.

Ulama dan Salafus Soleh terdahulu berhati-hati terhadap kemasyhuran dan sentiasa mengelak daripada menjadi popular dalam kalangan masyarakat sedangkan mereka ulama tersohor yang menjadi rujukan dalam bidang ilmu pengetahuan.

Mereka sering memperingatkan pelajar supaya tidak mencari populariti atau menjadi terkenal sehingga tertulis buku terkenal termasuk Ar-Risalah oleh Imam Qusyairi, Qutul-Qulub oleh Abu Talib al-Makki dan kitab Ihya’ oleh Imam Ghazali.

Salim Bin Hanzalah menceritakan:
 “Kami berjalan mengikut di belakang Ubai Bin Kaab kerana kemasyhurannya pada waktu itu lalu diperhatikan Umar Al-Khattab seraya berkata: Sesungguhnya inilah pemandangan menghinakan kepada yang mengikut dan adalah fitnah kepada yang diikut.”

Fudail bin I’yadh berkata:
 “Jika kamu mampu untuk tidak menjadi terkenal, maka lakukanlah kerana pujian dan pengiktirafan sebenar bukan daripada manusia. Kamu tidak akan hina di sisi Allah SWT kerana penghinaan manusia jika dikenali di sisi Allah SWT.”

Mereka itu antara hamba yang mendapat kedudukan tinggi dan hampir di sisi Allah SWT dengan menerima gelaran ahli sufi seperti berlaku terhadap Uwais Al-Qarni.

Walau bagaimanapun, kemasyhuran bukan dos kerana Nabi dan Rasul terkenal. Begitu juga ulama dan mujtahid. Apa yang dimaksudkan ialah persaingan buruk dengan mengaib serta menjatuhkan orang lain semata-mata untuk terkenal.

Diingatkan supaya tidak berlumba-lumba dan meminta-minta untuk mendapatkan jawatan apatah lagi melobi untuk tujuan itu.

Nabi SAW ditanya mengenai lelaki yang bekerja dengan mempersembahkan prestasi cemerlang lalu dia mendapat pujian manusia dan menjadi terkenal. Jawab Baginda SAW: 
“Itu adalah berita gembira bagi seorang mukmin.” (Hadis riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Ketahuilah anugerah, harta, pangkat dan kedudukan adalah anugerah Allah SWT kepada sesiapa dikehendaki. Sebagai umat Islam, kita mestilah mempercayai semua yang termaktub dalam ketentuan Allah.

Semuanya hanyalah anugerah dunia yang belum pasti akan membahagiakan pemiliknya di akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Diciptakan keindahan pada pandangan manusia terhadap apa diimpikan daripada pasangan, kedudukan, harta, anak pinak, kenderaan mewah dan aset yang banyak. Itu hanyalah kesenangan kehidupan dunia dan kepada Allah juga tempat kembali.” (Surah Al-Imran, ayat 60)

Kesimpulannya, kita hendaklah menerima kedudukan dan pengiktirafan sebagai ketentuan Allah SWT. Hendaklah dipastikan harta dan kedudukan itu datang dengan cara baik.

Sumber : Berita Harian