Kerajaan Kedah Dirayu Tutup Lubang "Maut" Segera...

YAN - Keadaan jalan yang berlubang di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan, di sini, didakwa telah menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut di tempat kejadian pada petang raya pertama lalu.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang abangnya terbabas menyebabkan mangsa terjatuh setelah abangnya gagal mengelak satu lubang besar di hadapan sebelum terbabas di bahu jalan.

Abang mangsa yang berusia belasan tahun cedera ringan, sementara mangsa yang berumur lapan tahun maut di tempat kejadian.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk pelajar sekolah sering terbabas di kawasan itu dalam masa seminggu ketika cuba mengelak lubang berkenaan.

Penduduk kampung yang di temui turut menzahirkan rasa kesal dan kecewa kerana tiada tindakan susulan dibuat oleh pihak berkuasa berkenaan.

Masing-masing turut menggesa supaya jalan yang berlubang itu dapat dibaiki dengan segera agar kejadian sama tidak berulang.

Penduduk, Anuar Mansor, 41, berkata, kerosakan jalan itu berlarutan sejak setahun lalu dan menjadi semakin serius apabila lubang terbabit semakin membesar.

“Kami sudah buat aduan kepada pihak berkenaan, tetapi masih belum ada sebarang tindakan dibuat. Kami bimbang sebab ini jalan utama penduduk dan sering digunakan pelajar untuk ke sekolah setiap hari.

“Kalau ia tidak dibaiki segera, mungkin boleh mengundang lebih banyak kemalangan, terutama membabitkan pelajar sekolah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Seorang lagi penduduk, Omar Bakar, 49, berkata, jalan tersebut perlu dibaiki segera demi kebaikan bersama penduduk dan orang ramai.

“Jangan menjadikan perbezaan fahaman politik menyebabkan kita sukar menyediakan kemudahan untuk penduduk.

“Tolonglah beri kerjasama kepada penduduk di sini. Kalau jalan ini tidak di baiki semula, mungkin lebih banyak kemalangan akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan yang mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak baru-baru ini harus dijadikan pengajaran supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.

Imam Surau Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan, Said Abdullah, 63, berkata, beliau berasa kesal dengan kejadian tersebut sehingga mengakibatkan maut.

“Masalah jalan ini sudah terlalu teruk. Terlalu banyak lubang, tetapi pihak berkenaan tidak ambil peduli tentang masalah penduduk.

“Kerana sikap tidak ambil kisah itulah menyebabkan penduduk kampung yang merasai keperitan dan kesannya,” katanya.

Said berkata, jalan tersebut perlu dibaiki segera kerana menjadi laluan utama lebih 400 penduduk di kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Yan, Asisten Superitendan Mansor Husain ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi yang juga Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail ketika dimaklumkan mengenai perkara itu turut mengambil kesempatan untuk meninjau lokasi kejadian.

Beliau berkata, pembentukan lubang tersebut berlaku kemungkinan disebabkan takungan air dari sawah padi dan hujan yang bertakung terlalu lama di kawasan tersebut sehingga menyebabkan jalan tar berkenaan menjadi lembut dan mudah berlubang.

“Saya datang melihat sendiri keadaan jalan di sini dan ia memang berlubang. Kita akan panggil kontraktor untuk baiki jalan tersebut segera yang boleh.

“Kita tidak mahu kejadian sama berulang kepada orang lain pada masa akan datang,” katanya. -Sinar Harian