Menteri Komunikasi dan Multimedia
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan kerajaan tidak pernah mengeluarkan
apa-apa kenyatan berhubung tindakan ingin menutup laman sosial Facebook untuk
pengguna di Malaysia walaupun terdapat banyak laporan penyalahgunaannya di
negara ini.
Ahmad Shabery berkata salah faham
berhubung perkara tersebut mungkin berlaku disebabkan tindakan kerajaan yang
ingin menjalankan kajian terhadap kewajaran
penutupan laman sosial tersebut kepada penduduk di negara ini.
"Saya tidak pernah cakap ingin
menutup laman sosial Facebook dan kerajaan sendiri tidak pernah berhasrat
sedemikian memandangkan ia agak mustahil dengan jumlah akaun pengguna di
Malaysia adalah 15 juta.
"Ramai orang sudah selesa
menggunakan Facebook untuk berniaga dalam talian, berinteraksi dengan keluarga
dan macam-macam lagi. Lainlah kalau kita (Malaysia) guna model seperti China
yang dari awal lagi tidak benarkan rakyatnya menggunakan Facebook," katanya
selepas merasmikan kurier kos rendah Redbox, AirAsia di sini, Khamis.
Menurut Ahmad Shabery lagi,
kerajaan sedang mengkaji beberapa kaedah yang sesuai bagi melatih penggunaan
internet bermula diperingkat sekolah rendah bagi mengelak penyalahgunaan inter
Ahmad Shabery berkata sudah tiba
masanya kerajaan memberi pendidikan penggunaan internet secara berhemah bermula
di peringkat sekolah rendah bagi membendung penyalahgunaan internet di masa
hadapan.
"Kita belum ada lagi suatu
pendidikan bagaimana menggunakan internet. Kita hanya terima benda yang sudah
maju tetapi ramai yang tidak tahu cara penggunaan yang betul maka ia akan
disalah guna" katanya. –KedahNews.com/Mohd
Shahir Shukor