Ketua Menteri Pulau Pinang Pertahan Pertubuhan Haram



GEORGETOWN – Kerajaan negeri mempertahankan penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) walaupun ia didapati tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata penubuhan PPS di bawah kuasa kerajaan negeri adalah sah sama seperti penubuhan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kami akan mempertahankan penubuhan dan tuduhan yang dikaitkan dengan PPS,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata PPS ditubuhkan empat tahun lepas bagi membantu mencegah jenayah dan membantu pihak berkuasa ketika berlaku bencana.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan bahawa PPS dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana tidak berdaftar sebagai pertubuhan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Lim berkata anggota PPS berkerja secara sukarela dan terdiri daripada semua lapisan masyarakat.

Sementara itu Pengerusi PPS, Phee Boon Poh berkata pasukan yang ditubuhkan sejak 2011 itu dengan dana kerajaan negeri dan mempunyai keanggotaan lebih 10,000 orang banyak menyumbang jasa dalam mengawal jenayah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri turut menafikan anggota PPS mempunyai kaitan dengan aktiviti gengster.

“Penubuhan PPS adalah untuk membantu rakyat dan saya percaya anggota PPS tidak terlibat dengan aktiviti gengster kerana tanggungjawab mereka adalah untuk mencegah jenayah,” katanya.

Isu PPS mula diperkatakan apabila seorang aktivis sosial mendakwa dipukul anggota pasukan itu kerana mengkritik kerajaan negeri melalui Facebook. – BERNAMA