Khalid Diperkenan Sultan Untuk Mentadbir Selangor


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan beliau untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Kenyataan ini dinyatakan Abdul Khalid sebentar tadi selepas selesai perbincangannya dengan Sultan Sharafudin di Bangunan Istana Alam Shah, Shah Alam.

“Saya masih boleh mentadbir negeri Selangor dengan sekurang-kurangnya empat anggota Exco,” kata Khalid yang dipetik dari laman Freemalaysiatoday.com.

Menurut Abdul Khalid, baginda telah bertanyakan kepadanya sama ada beliau masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.

“Saya telah memperjelaskan pada baginda bahawa disebalik pemecatan saya sebagai ahli PKR, saya masih memperolehi kepercayaan majoriti ahli dewan.

“Justeru, Tuanku telah berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan selanjutnya baginda telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor,” jelasnya.

Ujarnya lagi, sehingga ada perkembangan baharu, beliau masih kekal sebagai menteri besar dan akan menjalankan tugas seperti biasa. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com