Khalid Putus Untuk Bubar DUN Selangor?


Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni al-Marhum Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah mungkin membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor sekiranya krisis politik negeri tersebut gagal diselesaikan sehingga hujung minggu ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka menghadap Sultan esok bagi memaklumkan bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti berikutan tindakan Pas menukar sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun krisis ini dijangka berlarutan kerana calon tunggal Pakatan Rakyat dari PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak mempunyai 30 akuan bersumpah (SD) dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong beliau seperti mana yang beliau dakwa sebelum ini.

Menurut sumber, sehingga kini Wan Azizah hanya mempunyai 28 SD da bukannya 30 seperti yang didakwanya. 28 SD tersebut datang dari PKR dan DAP, lapor Mykmu.net.

Manakala semua ADUN PAS termasuk dua yang tampil dalam sidang akhbar menyokong Wan Azizah dikatakan tidak menandatangani sebarang akuan bersumpah menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Malah perkara ini disahkan oleh salah seorang ADUN Pas yang dihadir dalam sidang akhbar tersebut, YB Saari Sungip, yang menyatakan kehadirannya pada sidang media bersama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini bukan untuk menyokong presiden PKR itu sebagai menteri besar Selangor, sebaliknya bertujuan menolak Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pagi tadi juga Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyatakan Pas tidak akan menandatangani sebarang SD menyokong Wan Azizah kerana ia tidak pernah dibincangkan.

Jika benar keadaan ini, Tuanku Sultan dijangka tiada pilihan kecuali membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor bagi membolehkan satu pilihan raya negeri yang baru diadakan. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com