Gemar menikmati ayam goreng ibunya, masih terngiang-ngiang kata-kata bonda di telinganya yang berseloroh meminta dia membuka gerai ayam goreng pada suatu hari nanti.
"Nanti besar, Not bukak kedai ayam goreng la...", kata ibu sambil menghulur ayam goreng kesukaannya. Pada Norharizan Hj Hussain, tiada yang lebih enak selain ayam yang digoreng ibu kandungnya sendiri.
Dia tahu betapa sukarnya mencari rezeki. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang agak susah, Norharizan berusaha keras membantu ibu mencari rezeki melalui perniagaan kecil-kecilan. Dari pengalaman itulah dia mula melangkah setapak demi setapak.
Itu cerita lebih 40 tahun yang lampau. Berkat kasih sayang ibu bapa, kesabaran dan kegigihan yang ada padanya, alhamdulillah kini kehidupan Norharizan dimurahkan rezeki yang agak lumayan oleh Allah SWT.
Menariknya, rezeki yang diterima dia kongsikan bersama dengan golongan yang kurang bernasib baik, anak-anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan masyarakat miskin setempat. Sebak hati KedahNews.com menyaksikan kegembiraan yang terpancar dari anak-anak yatim ketika menjamah ayam goreng yang dihidangkan dari premis perniagaan Norharizan.
Norharizan selaku pemilik restoran makanan segera, Marry Brown di Souq Al-Bukhary itu tersenyum puas melihat lebih 117 wajah gembira yang diraikan terpamer di hadapan matanya.
"Saya puas tengok depa seronok.. saya kongsikan rezeki Allah dengan depa", bisiknya pada KedahNews.com yang lebih mesra dengan panggilan "Kak Not".
Menurut Kak Not, sejak mula membuka restoran Marry Brown di Souq Al-Bukhari kira-kira 8 tahun yang lalu, dia tidak pernah lupa untuk mengadakan majlis amal bersama golongan kurang bernasib baik di sekitar negeri Kedah.
Bila ditanya bagaimana timbul inisiatif untuk mengembirakan hati golongan tersebut di restoran miliknya, Kak Not sepontan memberitahu bahawa dia merupakan salah seorang dari mereka pada suatu masa dahulu dan berbesar hati untuk berkongsi rezeki Allah serta kegembiraan bersama mereka yang dianggap saudaranya sendiri.
"Saya dulu pun macam depa jugak...hidup susah.. jadi saya seronok sangat kalau dapat kongsi rezeki Allah dan tengok depa seronok di kedai saya.. kita sama-sama kongsi rezeki.. Allah akan berkati hidup kita, in shaa Allah," katanya yang tidak pernah lupa mensyukuri nikmat Tuhan.
Bekas pensyarah Kolej Universiti Insaniah, Ustaz Azki Hafizi Ibrahim, yang dijemput untuk mendoakan majlis amal berkenaan, turut melahirkan rasa bertuahnya warga Kedah dihadiahkan seorang usahawan Melayu Muslim yang begitu prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik.
"Usaha yang sangat murni dari usahawan Melayu kita kepada umat Islam di Kedah terhadap keprihatinan pemilik Marry Brown di Suoq Al-Bukhari ini terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Semoga Allah memberkati segalanya," kata Ustaz Azki yang kini mengendalikan sebuah pusat tahfiz di Kuala Sungai, Alor Setar.
Kak Not turut meluahkan rasa besar hatinya dengan sokongan beberapa premis perniagaan yang beroperasi di Suoq Al-Bukhari, termasuk Giant Hypermarket, yang sudi bersama-sama menghulurkan sumbangan mereka di majlis anjurannya.
Selain duit raya, penganjur turut menyampaikan sumbangan-sumbangan lain berupa barangan keperluan harian, kuih raya dan pelbagai lagi barangan runcit kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan OKU yang dibawa khas oleh Lembaga Kemajuan Perempuan Islam (LKPI), cawangan Hutan Kampung.
Bergema dengan alunan puji-pujian kepada Allah, marhaban dan Asma'ul Husna yang disampaikan oleh ahli-ahli LKPI, restoran makanan segera Marry Brown milik Norharizan seolah-olah berada di bawah payung rahmat Allah SWT.