Krisis MB Selangor: Anwar Ke Terengganu "Pujuk" Hadi?


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan mengejut dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam.

Pertemuan sulit ini telah disahkan oleh Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Mustapa Ali.

"Ok. Ya saya sahkan ada (pertemuan)," katanya yang dipetik dari laman Sinarharian.com.my.

Pertemuan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan kemelut isu Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, Hadi enggan mangulas lanjut dan meninggalkan tempat perjumpaan itu secara tergesa-gesa.

PKR telah memecat Abdul Khalid sebagai anggota parti ekoran keengganan beliau melepaskan jawatan Menteri Besar dan memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk menggantikannya.


Abdul Khalid sebelum itu telah menegaskan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah telah memberi perkenan kepada beliau untuk terus kekal sebagai Menteri Besar.

“Menurut artikel 53 2 b undang-undang tubuh negeri sudah diperuntukkan ahli majlis kerajaan negeri selain menteri besar sekurang-kurangnya empat hingga 10 ahli.

“PAS sudah nyatakan keempat-empat anggota Exco akan bersama kerajaan negeri dan saya.

“Oleh sebab itu, saya boleh terus mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com