Krisis MB Selangor: PAS Gagal Dalam Tahaluf Siyasinya


Alasan Majlis Syura Ulama Pas yang turut buat u-turn' berhubung kemelut Menteri Besar Selangor dilihat bukan sahaja pelik malah cukup melucukan.

Pendakwah bebas, Ustaz Rujhan Abdul Rahman berkata terbatalnya keputusan Majlis Syura yang sebelum ini berada di belakang Tan Sri Khalid Ibrahim menimbulkan tanda tanya kerana badan tersebut adalah tertinggi di dalam parti berkenaan.

Menurut beliau berdasarkan kepada alasan ‘ u-turn‘ Majlis Syura, bukankah sepatutnya sejurus sahaja Tan Sri Khalid dipecat sebagai ahli PKR, mereka perlu serta merta membatalkan sokongan yang telah dilontarkan sebelum ini dan bukannya membiarkan kontroversi terus berlaku di negeri tersebut.

“Lagi pun jika berdasarkan kepada alasan itu juga, empat Exco yang bersama Tan Sri Khalid pada dan ketika waktu itu perlu dinasihatkan oleh Majlis Syura untuk meletakkan jawatan serta merta.

“Ini tidak…kali inilah baru kita kedengaran bahawa alasan untuk Majlis Syura bersama dengan keputusan yang dibuat mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat kerana Tan Sri Khalid bukan lagi ahli PKR.

“Inilah yang kita katakan tadi alasan yang melucukan dan pelik. Sebagai badan tertinggi di dalam Pas mereka perlu peka kepada senario sebegini. Apakah mereka lupa atau pun buat-buat tak nampak perkara berkenaan”, soalnya yang dipetik dari laman Utaranews.com.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Nik Muhammad Zawani Nik Salleh berkata keputusan badan itu sebelum ini yang mahu mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar diputuskan ketika beliau masih menjadi ahli PKR.

Sehubungan itu seperti dilaporkan, beliau menjelaskan ''tidak timbul'' keputusan bercanggah antara Majlis Syura dan Jawatankuasa Pas pusat.

Ustaz Rujhan seterusnya menimbulkan persoalan apakah keputusan Majlis Syura terbatal dengan keputusan dunia semata-mata.

“Jika itulah senarionya Pas hari ini berada dalam suasana yang amat menyedihkan. Dan jika itulah sesuatu yang realiti, Pas gagal dalam tahaluf siyasinya,

“Apa yang berlaku hari ini juga kita boleh membuat andaian bahawa Allah s.wt telah membuka hijab untuk seluruh rakyat melihat suasana yang sebenarnya. Mungkinkah segala yang berlaku adalah peluang untuk kita semua melihat wajah Pas, PKR dan Dap yang sebenarnya,” katanya.

Sebelum ini Abdul Hadi dilaporkan berkata keputusan yang diputuskan parti itu adalah berdasarkan kepada keadaan semasa iaitu pada masa menyokong Abdul Khalid adalah kerana ketika itu beliau ia masih merupakan anggota PKR.

“Masa itu, Abdul Khalid masih dalam PKR dan kini telah dipecat dan masalah berkaitan dengannya sudah tidak timbul lagi,” ujarnya. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com