Pakatan Anak-anak Selangor Menyokong Menteri Besar (PASMEB) hari ini mengutuk tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti itu.
Pengerusi PASMEB Petaling, Hanafiah Husin menyatakan bahawa pihaknya mengecam Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dikatakan telah melanggar prinsipnya untuk tidak mengamalkan nepotisme serta kronisme dengan memilih isterinya sendiri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB Selangor yang baru.
"Anwar Ibrahim harus ingat deklarasi Permatang Pauh 1998, antaranya melarang, membenci, melaknat nepotisme dan kronisme, dan amat membenci rasuah tetapi apa yang jadi sekarang di Selangor... rakyat negeri Selangor kerana diperdayakan dengan 'Kajang Move' (Langkah Kajang)," kata Hanafiah.
Katanya lagi, kredibiliti Anwar sering dipertikaikan oleh mendiang Karpal kerana selalu bertindak dahulu sebelum apa-apa perbincangan dilakukan.
"Dan Anwar Ibrahim harus bertaubat. Dan ingat ya... kalau Karpal Singh masih ada, dah tentu dia akan kata "Anwar, sudah cukup kamu timbulkan banyak masalah dalam negara ini"," tegas Hanafiah yang dipetik dari laman Astroawani.com.
Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan pemecatan Abdul Khalid sebagai satu langkah untuk menghalang beliau dari menjadi Timbalan Presiden PKR yang baharu kerana beliau (Abdul Khalid) hanya 900 undi di belakang penyandangnya, Azmin Ali.
Sementara itu Ketua Wanita PASMEB, Norasmah Baharuddin dengan nada marah menyifatkan Anwar sebagai 'pengkhianat kepada anak Selangor' kerana mementingkan kepentingan peribadi.
"Inikah perjuangan dia selama ini untuk mempertahankan keadilan? Untuk membela rakyat kononnya. Rupanya untuk memperjuangkan hak peribadi sendiri!" tegasnya.
PASMEB turut bertegas menentang pemecatan Abdul Khalid itu, dan memberitahu beliau masih ada 14 hari lagi untuk membuat sebarang rayuan.
Abdul Khalid pada Sabtu telah dipecat dari PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, keputusan itu telah dibuat pada Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib terhadap Abdul Khalid. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com