Putrajaya, 17 Ogos – Bekas
Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad menyifatkan krisis yang berlaku di
Selangor tidak akan dapat diselesaikan walaupun pilihan baharu diadakan bagi
memilih Menteri Besar di negeri tersebut selagi hasrat Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri tidak tercapai.
Tun Mahathir berkata, kemelut
politik yang melanda di kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) itu merupakan
satu helah Anwar yang tidak pernah berputus asa untuk menjadi seorang Perdana
Menteri Malaysia.
"Boleh ada pilihan raya baharu, tetapi
saya tak fikir ia akan selesaikan
masalah selagi Anwar tak jadi Perdana Menteri (PM).
"Kalau bagi dia (Anwar) jadi PM
satu bulan, saya ingat dia (Anwar) puas hati, tapi dia (Anwar) tak akan lepas
(jawatan PM)," katanya dipetik melalui Bernama.
Merujuk kepada krisis yang
berlaku di Selangor, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah bertindak memecat
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang enggan melepas
jawatan disandangnya itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail.
Menurut Tun Mahathir lagi, pemecatan
Abdul Khalid dari PKR adalah satu perkara yang tidak mengejutkan kerana dalam
sebuah negara demokrasi di negara ini, setiap individu mempunyai hak untuk keluar
masuk dalam sesebuah parti politik.
"Dalam demokrasi kita bebas masuk
parti, bebas keluar parti. Khalid ini dulu orang Umno. Dia masuk Pakatan,
Keadilan (PKR). Sekarang ini dia (Abdul Khalid) tidak setuju dengan PKR, itu
dia punya hak," ujarnya lagi pada sidang media selepas menghadiri diskusi
bertajuk ‘Evolusi Identiti Anak Muda Malaysia’ anjuran Akademi Belia di Perdana
Leadership Foundation, semalam. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor