Alor Setar, 21 Ogos – Seorang
kanak-kanak berusia empat tahun ditemui meninggal dunia akibat lemas selepas
mangsa dikatakan ditinggalkan di dalam kereta oelh bapanya di Sekolah Menengah
kebangsaan (SMK) Kuala Nerang semalam.
Mangsa, Muhammad Aqil Arfan Adnan
dipercayai lemas selepas ditinggalkan hampir 8 jam oleh bapanya, Adnan Salleh
yang merupakan seorang guru agama di sekolah berkenaan.
Menurut laporan, lelaki itu yang
menyedari anaknya tidak sedarkan diri telah membawa kanak-kanak itu ke Hospital
Kuala Nerang bagi mendapatkan rawatan namun mangsa telah disahkan meninggal
dunia.
Saudara mangsa, Soaid Adam, 45,
berkata, kebiasaan mangsa akan dihantar oleh bapanya ke sebuah tadika berhampiran
sekolah tempat dia mengajar bagaimanapun telah terlupa dan tidak menyedari
anaknya berada ditempat duduk penumpang.
Jelas Soaid lagi, Adnan dan
isterinya, Asiah Abu, 30-an, yang merupakan seorang guru di SMK Dato Syed
Ahmad, Kuala Nerang bersama anaknya itu dipercayai telah keluar ke rumah untuk
ke sekolah kira-kira jam 6.45 pagi hari kejadian.
"Selalunya Adnan akan
melalui jalan Pokok Sena kemudian dia akan hantar anaknya dahulu ke tadika,
selepas itu dia akan hantar isterinya ke SMK Dato Syed Ahmad dan kemudian dia
akan ke SMK Kuala Nerang.
"Tetapi hari ini, dia
melalui jalan Naka kemudian menghantar isterinya dahulu lalu terus ke SMK Kuala
Nerang, dia mungkin terlupa untuk hantar anaknya ke tadika," katanya dipetik
melalui Bernama ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.
Tambah Soaid lagi, dia sangat terkejut apabila
menerima panggilan daripada Adnan berhubung kejadian yang berlaku kepada anak
saudaranya itu dan tidak menyangka insiden tersebut akan menimpa keluarga
mereka.
Sementara itu, Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya mengesahkan mengenai
isiden tersebut dan pihaknya sedang menyiasat punca kejadian berkenaan. –KedahNews.com/Mohd
Shahir Shukor