Lelaki Kumpul Kuku Sendiri Sejak 1978 Hingga Kini...


Seorang lelaki telah mengumpul kuku kaki dan jarinya yang dipotong sejak Februari 1978 dan menyimpannya dalam sebuah balang kaca sebagai koleksi kesayangan.

Lelaki itu, Richard Gobson berkata pada mulanya dia hanya berniat menyimpan kukunya yang dipotong dalam kotak rawatan kuku dan tidak membuang ke dalam tong sampah seperti orang lain.

“Saya mula menyimpannya sedikit demi sedikit untuk melihat berapa lama masa yang diambil untuk ia memenuhi kotak,” kata Richard yang dipetik dari laman Thehuffingtonpost.com.

Richard memberitahu bahawa dia mengambil masa selama dua tahun mengumpul kuku dalam kotak rawatan kuku sebelum memindahkannya dalam balang kaca.

Menurut Richard, bekas isterinya selalu memaksanya menyembunyikan balang kaca itu di tempat lain jika ada tetamu datang ke rumahnya.

Koleksi kuku milik Richard pernah disiarkan dalam rancangan popular 'Ripley’s Believe It Or Not' yang menghimpunkan lebih 70,000 fakta pelik lain melibatkan individu seluruh dunia. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com