Liputan Ketibaan Jenazah #MH17: Hanya RTM Dan Bernama Sahaja



Hanya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dibenarkan membuat liputan istiadat penghormatan jenazah mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di kawasan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata pengkhususan dua organisasi media itu dibuat bagi memastikan kelancaran istiadat itu, menghormati perasaan waris dan keluarga mangsa serta kawasan Kompleks Bunga Raya yang terhad.

Katanya kawalan media itu juga dibuat berikutan keberangkatan hadir Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selain orang kenamaan lain.

“Bagaimanapun, kementerian menyediakan Pusat Media di kawasan luar Kompleks Bunga Raya bagi membolehkan media lain mendapatkan ‘feed’ secara langsung semasa istiadat itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Komunikasi, Koordinasi dan Media mengenai Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di sini, Isnin.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah wakil-wakil media, Jabatan Penerangan, MAS, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Jailani berkata upacara di Kompleks Bunga Raya itu akan diselia oleh ATM sebelum jenazah mangsa Islam dibawa ke Masjid KLIA manakala yang bukan Islam dibawa ke Taman Peringatan Nirvana.

Sebuah khemah khusus juga akan disediakan untuk waris dan anggota keluarga mangsa di kawasan kompleks itu.

Jailani turut menasihatkan pihak media supaya mengurangkan sesi temu ramah dengan waris mangsa tragedi itu bagi memberi mereka ruang untuk bersama-sama keluarga masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Jailani berkata kerajaan tidak melupakan usaha pencarian MH370 dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyediakan laman web www.mh370.gov.my bagi membolehkan semua pihak mengikuti perkembangan pencarian itu.

“Bagi MH17, kita juga akan menyediakan platform sama untuk memberi maklumat semasa berhubung tragedi itu,” katanya.

Penerbangan MH17, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal – dipercayai ditembak jatuh, namun tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.