Majlis Syura PAS Tegas Mahu Khalid Ibrahim Kekal



TERNYATA usaha PKR dan DAP untuk menyingkirkan Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan menggantikannya dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak mendapat sokongan daripada PAS.

Menerusi mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS yang diadakan semalam, mereka sebulat suara menyatakan Khalid wajar dikekalkan sebagai MB selagi tidak disabitkan dengan sebarang pelanggaran amanah.

Berikut merupakan kenyataan penuh yang ditandatangani oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Dr Haron:
Merujuk kepada Fasal 3 Perlembagaan PAS, bahawa dasar PAS ialah Islam, dan Fasal 6(2) bahawa antara usaha PAS adalah “memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara”,

Maka, Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 9 Syawal 1435 bersamaan 6 Ogos 2014 di Kota Bharu telah membuat keputusan berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti seperti berikut:
"Bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk meneruskan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar di Selangor bagi penggal kedua selepas Pilihanraya Umum ke-13. 

Maka selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor."
Jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti SPRM atau Mahkamah maka Majlis Syura Ulamak bersedia untuk menilai kembali kedudukan beliau.

Majlis Syura Ulamak menegaskan sekali lagi bahawa PAS akan tetap istiqamah dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaannya dan terus memberi komitmen bersama Pakatan Rakyat .

Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Datuk Dr Haron Din Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia
Sebelum ini, PKR telah menyerahkan surat tunjuk sebab kepada Khalid kerana kegagalannya mematuhi keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang mahu menggantikannya. 
Khalid juga dijangka menerima tindakan seterusnya termasuk dipecat daripada parti rakan PAS dalam PR.

Bagaimanapun, menerusi laporan Bernama semalam, Nik Aziz kekal dengan sokongan terhadap Khalid dan menyifatkan tiada sebab baginya untuk menukar pendirian berhubung isu pertukaran MB Selangor itu. 

Sumber: Mynewshub.my