GEORGE TOWN – Ahli Parlimen PAS diberikan tempoh 24 jam untuk
membuat permohonan maaf berhubung kenyataan fitnah yang dibuat terhadap
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng atau berdepan tindakan
undang-undang.
Lim berkata beliau terkejut dengan serangan tanpa provokasi yang
dilancarkan oleh ahli Majlis Syura PAS, Nasrudin Hassan Tantawi mengenai
kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang dan penganugerahan projek
terowong dasar laut Pulau Pinang.
“Nasrudin mempersoalkan mengapa saya tidak dikritik dalam Pakatan
Rakyat seperti mana Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
yang dikritik berhubung isu pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara
(KIDEX) apabila saya juga telah menggunakan rundingan terus untuk
menganugerahkan projek terowong RM4.63 bilion di bawah dasar laut untuk
Construction Zenith BUCG Bhd.
“Saya ingin menyatakan di sini bahawa saya tidak pernah membuat
apa-apa komen awam berhubung KIDEX atau anugerah rundingan secara terus.
“Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam permainan politik
Nasrudin yang menyokong KIDEX tetapi membuat bantahan ini kerana
pembohongan oleh ahli Parlimen Pakatan Rakyat ini yang dengan teruk
mencemarkan maruah saya dan kedudukan kerajaan negeri,” kata Lim pada
sidang akhbar di pejabatnya di di Komtar, Khamis.
Lim mendakwa Nasrudin telah berbohong dengan menyatakan bahawa projek
terowong dasar laut telah dianugerahkan melalui tender terbuka dengan
kos RM3.6 bilion, bukan melalui rundingan terus bernilai RM4.63 bilion.
Tambahnya, kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat tidak pernah mencatatkan bajet defisit.
Nasrudin berkata projek terowong itu diberikan lampu hijau walaupun Pulau Pinang mencatat bajet defisit RM255.4 juta.
“Saya tiada pilihan melainkan melayan dia seperti lawan Barisan
Nasional, dengan mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap Nasrudin yang menyebarkan fitnah secara
terang-terangan terhadap saya dan kerajaan negeri Pulau Pinang,” kata
Lim. – mStar Online