KUALA LUMPUR – Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar
Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan memfailkan saman terhadap Ketua
Pembangkang itu bagi menuntut ganti rugi RM50 juta berhubung kes
liwatnya enam tahun lepas.
Mohd Saiful, 27, memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah
Tinggi Sivil, pada 23 Jun lepas melalui Tetuan Zamri Idrus & Co.
Media memperoleh salinan pernyataan tuntutan hari ini selepas kes itu
disebut untuk pengurusan kes.
Dalam writ samannya, Mohd Saiful mendakwa beliau mengalami kesakitan
fizikaldan menanggung penderitaan sejak 2008 sehingga kini akibat
diliwat oleh defendan (Anwar) dan selepas Anwar menuduh laporan polis
yang dibuatnya mengenai kejadian liwat itu sebagai satu fitnah dan
konspirasi terhadap Anwar.
Mohd Saiful berkata perbuatan liwat itu adalah suatu kesalahan di
bawah Kanun Keseksaan dan Anwar perlu membayar ganti rugi kepadanya di
atas perbuatan liwat itu dan akibat fitnah yang dilemparkannya berhubung
laporan polis itu.
Mohd Saiful mendakwa defendan (Anwar) sesungguhnya bertanggungjawab
ke atas segala kerosakan dan kehilangan yang dialami plaintif (Mohd
Saiful) akibat diliwat oleh defendan.
Mohd Saiful mendakwa beliau tidak pernah berbohong dengan kandungan
laporan polis itu yang menyatakan Anwar telah meliwatnya dan kali
terakhir kejadian itu berlaku pada 26 Jun, 2008, di Unit 1151,
Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, di sini.
Katanya kandungan laporan polis itu adalah apa yang sebenarnya terjadi dan kejadian liwat itu berlaku tanpa kerelaannya.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Mohd Saiful berkata beliau bekerja
dengan Anwar pada Mac 2008 sehingga Jun tahun sama pada usia 22 tahun
dan beliau sering dibawa Anwar untuk urusan di dalam dan luar negara.
Katanya beliau telah dipandang rendah oleh masyarakat yang
mempercayai tuduhan Anwar terhadapnya, dicemuh di laman-laman sosial dan
telah mengalami tekanan teruk akibat daripada fitnah dan kejadian liwat
itu.
Sehubungan itu, Mohd Saiful memohon ganti rugi RM50 juta ganti rugi
am, khas, teruk, faedah, kos dan lain-lain relif yang dianggap sesuai
oleh mahkamah.
Selepas kes itu disebut hari ini, Peguam Zamri Idrus yang mewakili
Mohd Saiful memberitahu media bahawa kes saman itu ditetapkan untuk
pengurusan kes 8 Okt ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi
Sivil, Norfauzani Mohd Nordin.
Beliau berkata mahkamah juga memerintahkan Anwar yang diwakili peguam
Shahid Adli memfailkan pernyataan pembelaannya sebelum 3 Sept ini.
Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima
tahun ke atas Anwar kerana meliwat Mohd Saiful selepas membenarkan
rayuan pihak pendakwa raya untuk mensabitkan Anwar atas pertuduhan
meliwat.
Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan, 2012
yang melepaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful.
Bagaimanapun Anwar dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang
penjamin sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan.
Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes esok. – BERNAMA