Butterworth, 13 Ogos – Timbalan Presiden
PAS, Mohamad Sabu menegaskan partinya terus akan menyokong rakan sekutunya DAP
dan PKR walaupun Pakatan Rakyat kini berada dalam krisis melibatkan Menteri
Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Selain itu, Mohamad Sabu turut
menyatakan PAS tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan UMNO dan tanggungjawab
parti terhadap Pakatan Rakyat adalah satu perkara yang wajib.
"PAS bersama Pakatan, kami tak
boleh keluar Pakatan melainkan muktamar (memutuskan sebaliknya)…komitmen PAS
bersama Pakatan, tak akan lari,” katanya di petik melalui Bernama.
Menurut Mohamad Sabu lagi,
sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli PAS berhubung kemelut di Selangor
merupakan satu pandangan peribadi dan tidak mewakili parti tersebut.
Mohamad Sabu atau Mat Sabu
berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pada 17 Ogos ini bagi membincangkan
beberapa isu termasuk kemelut yang sedang melanda Pakatan Rakyat berhubung
krisis Menteri Besar Selangor.
Tambah Mat Sabu lagi, tindakan
yang dilakukan oleh beberapa Ahli Undangan Negeri (ADUN) BN menyokong Abdul
Khalid untuk terus kekal sebagai Menteri Besar adalah satu perkara biasa dalam
dunia politik.
"Itu adalah tindakan biasa sebagai sebuah
parti politik. Tindakan yang diambil Umno adalah wajar. Bagi saya itu adalah
tindakan yang biasa…tiada yang pelik". –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor