KEPALA BATAS – Mayat seorang lelaki yang dibalut dengan kain
cadar seperti dikafan ditemui di tepi jalan berhampiran Medan Selera
Bukit Minyak, di sini hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata mayat
lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang awam yang melalui
kawasan itu pada pukul 7 pagi.
“Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kecederaan pada badan mangsa
dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa mati di tempat lain sebelum
ditinggalkan di tepi jalan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari
ini.
Beliau berkata tiada sebarang dokumen ditemui pada mayat itu dan
polis percaya lelaki itu adalah rakyat asing. Mayat lelaki itu dihantar
ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Abdul Rahim meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat
berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi
membantu siasatan.
Beliau berkata polis memandang serius kejadian mayat rakyat asing
ditinggal di tepi jalan yang kerap dilapor di sekitar Daerah Seberang
Perai Tengah (SPT), dekat sini.
“Berdasarkan statistik polis, dari Januari hingga Julai tahun ini
sahaja, sebanyak lapan kes seumpama itu berlaku di SPT dan kesemuanya
adalah warga asing,” katanya. – BERNAMA