Mayat Ditemui Dalam Lori Simen Di Segamat


Seorang lelaki, Yeung Soi Meng berusia 56 tahun pekerja sebuah syarikat pembacuh simen di temui mati dalam keadaan terduduk di dalam alat pembacuh lori simen dalam kejadian di Jalan Batu 8, Buloh Kasap di Batu Anam, Segamat, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Penolong Penguasa Bomba, Eva Saifon Kamarun berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.12 petang yang mengatakan salah seorang lelaki tidak sedarkan diri ketika melakukan kerja kimpalan di dalam sebuah alat pembancuh sebuah lori simen.

"Sebuah jentera bomba bersama dengan lima anggota bergegas dan tiba di loaksi kejadian kira-kira 15 minit kemudian dan mendapati lelaki berkenaan tidak sedarkan diri.", kata Eva yang dipetik dari laman hmetro.com.my

Eva berkata, dua anggota bomba kemudiannya telah masuk ke dalam alat pembacuh simen itu dan bertindak mengeluarkan mangsa sebelum memberikan bantuan pernafasan, namun pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia.

Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas ketika melakukan kerja kimpalan di dalam alat pembacuh simen berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com