MB Kelantan Tegas PAS Dipandang Hina Pakatan Rakyat



Sudahlah pimpinan ulama dalam PAS dilihat bersedia jika parti itu mengambil langkah keluar dari Pakatan Rakyat (PR), kini parti itu turut membuka pintunya kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini menjadi pemimpin tidak berparti untuk menyertai PAS.

Keterbukaan itu disuarakan oleh Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan.

Menurut beliau dalam laporan Mstar Online, pintu keahlian PAS sentiasa terbuka untuk Abdul Khalid yang telah dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

“Terpulanglah kepada beliau jika ingin menyertai PAS selepas ini kerana telah dipecat PKR.

“Tetapi, kita perlu menunggu pertemuan beliau dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan melihat nasihat yang akan diberikan untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Abdul Khalid dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR selepas enggan memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

Tindakan Abdul Khalid mempertahankan kedudukannya bagaimanapun turut mendapat sokongan dan restu pimpinan tertinggi PAS yang merupakan anggota Pakatan Rakyat.

Lebih panas, Ahmad berkata PAS bersedia berjuang bersendirian sekiranya parti itu memilih untuk keluar dari pakatan tiga parti PKR-PAS dan DAP itu.

“Kami mempunyai sejarah sendiri walaupun berbeza pendapat dengan Barisan Nasional (BN) dan Semangat 46. Saya bersetuju dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa PAS mampu berjuang bersendirian sekiranya keluar daripada Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun yakin PAS tidak akan keluar daripada pakatan itu dan menyifatkan krisis Menteri Besar Selangor sebagai satu ujian disebalik hubungan di dalam kerjasama politik itu.

PAS Perlu Jaga Air Muka Di Selangor

Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik melihat ketika ini adalah saat terbaik PAS untuk menjaga air mukanya daripada terus diperlekehkan oleh PKR kerana kerusi yang dimiliki mereka dalam Dewan Undangan Negeri Selangor adalah yang terbanyak, sama banyak dengan DAP.

PAS dan DAP memiliki 15 kerusi manakala PKR hanya ada 14 kerusi, tetapi kewujudan PAS dalam soal pentadbiran kerajaan negeri seperti tidak wujud.

Selepas kemenangan PR dalam Piliha Raya Umum ke-13, PAS sudah pun memberikan laluan sekali lagi kepada Abdul Khalid menjadi Menteri Besar biarpun PAS memenangi paling banyak kerusi.

Dalam kemelut ini, pendirian PAS yang mahukan Abdul Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor tidak dipandang langsung oleh PKR khususnya Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang rakus mahukan isterinya, Dr Wan Azizah dilantik.

Sepatutnya, sebagai parti yang begitu senior dan ramai pengikut, sepatutnya PKR menjaga air muka para pemimpin yang secara terbuka mahukan Khalid kekal MB.

Ini tidak, PKR nyata merasakan ia adalah satu kuasa politik yang unggul kerana pandai-pandai mengumumkan pertukaran MB di Selangor tanpa merujuk kepada anggota komponen yang lain.

Di mana semangat hormat menghormati yang sepatutnya wujud antara parti?

Jika PAS Keluar Dari Pakatan Rakyat

Hakikatnya, jika PAS keluar Pakatan Rakyat dan bersama dengan UMNO di Selangor, jumlah kerusi antara kedua-dua pihak akan sama iaitu DAP-PKR 28 kerusi manakala PAS-UMNO juga 28 kerusi.

Dari segi itu, kini dilihat sebagai saat yang paling baik untuk satu kebangkitan dibuat oleh PAS dalam menyedarkan rakan-rakan mereka dalam PR dengan pengumuman keluar dari pakatan berkenaan.

Biarpun apa senarionya di Selangor, segala-galanya akan terjawab esok apabila Majlis Penasihat Raja-Raja Selangor akan bermesyuarat esok pada pukul 11.30 pagi bagi membincangkan kemelut politik berkenaan.

Sumber: Mynewshub.my