#MH17: 21 Pasukan Malaysia Disambut Bunyi Tembakan Dilokasi Nahas


Pasukan Siasatan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang dihantar ke lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MH17) tidak dibenarkan memasuki kawasan tragedi semalam berikutan berlakunya beberapa serangan tembak menembak di antara tentera Ukraine dan puak pemisah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, susulan daripada insiden itu, 21 pegawai penyiasat yang diketuai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak dibenarkan memasuki lokasi nahas bagi menjalankan siasatan atas faktor keselamatan.

“Walaupun pasukan PDRM berjaya tiba di kawasan nahas, namun, setakat ini kerja-kerja penggeledahan dan mencari bukti kes masih belum dapat dimulakan kerana kejadian tembak-menembak meriam sedang berlaku antara tentera Ukraine dan puak pemisah.

“Pasukan Malaysia hanya dapat berlindung di kawasan berhampiran lokasi nahas di sekitar tepi jalan, menunggu sehingga keadaan lebih stabil dan selamat,” katanya yang dipetik dari sumber media.

Menurut Ahmad Zahid, keselamatan pasukan siasatan PDRM dikawal rapi oleh pihak berkuasa di sana dan sepanjang perjalanan menuju ke lokasi nahas mereka telah melihat banyak kemusnahan yang berlaku akibat perang.
   
“Mereka juga mendapati banyak kemusnahan akibat perang di sekeliling kawasan tersebut,” katanya lagi.

Dalam kejadian yang berlaku pada 17 Julai lalu, pesawat MH17 yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah terhempas di Donetsk, Timur Ukraine sempadann Rusia.

Pesawat yang membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal dipercayai telah ditembak ketika melalui ruang udara sempadan Ukraine - Rusia, namun sehingga kini tiada pihak enggan bertanggungjawab di atas insiden terbabit. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor