THE HAGUE — Proses mengenal pasti identiti baki mayat warga Malaysia
yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan
MH17 kini memasuki fasa sukar dan mencabar.
Anggota Lembaga Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17 Datuk Dr Zahari
Noh berkata kes itu semakin rumit kerana pakar forensik kini hanya boleh
bergantung kepada DNA sahaja yang prosesnya mengambil masa panjang.
“Kini di fasa DNA, proses semakin lebih terperinci. Jika wujud
padanan cap jari atau DNA, kes boleh diteruskan untuk pengesahan
identiti.
“Ia ambil masa lama, boleh juga sekejap. Ada kes terpaksa dikaji
semula. Ada yang (ambil masa) satu hari sahaja sudah selesai proses
identifikasinya.
“Pakar kini tidak boleh lagi bergantung kepada padanan seperti cap
jari tangan atau gigi seperti pengecaman dan identifikasi jenazah lain
sebelum ini,” katanya di sini.
Beliau yang juga Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang berkata
demikian dalam temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia
(RTM).
Pakar forensik itu adalah satu-satunya wakil Malaysia dalam Lembaga
Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17 yang ditempatkan di Pusat Perubatan
Tentera di Hilversum dekat sini.
Dr Zahari menjelaskan dalam menentukan identiti jenazah, ia perlu
melalui proses seperti pengumpulan anggota badan, bedah siasat dan
rekonsiliasi (yang melibatkan gabungan pengumpulan anggota badan dan
bedah siasat menggunakan teknik padanan cap jari, DNA serta patologi).
Katanya selesai sahaja proses tersebut, mana-mana kes yang telah
dikenal pasti identiti jenazah itu akan dibentangkan ke lembaga.
Jelasnya, antara tugasnya adalah meneliti setiap kes yang
dibentangkan dalam mesyuarat yang diadakan tiga kali seminggu; Isnin,
Rabu dan Jumaat untuk tujuan pengenalpastian dan pengesahan identiti.
“Ada tujuh orang di dalam lembaga itu dari pelbagai bidang seperti
pendakwa raya dan dari negara lain termasuk Belanda dan United Kingdom.
“Tugas kami adalah bersidang, semak setiap kes, buat presentasi. Bila
semua sudah setuju, baru sahkan identiti mana-mana jenazah.
“Apabila ada jenazah Malaysia telah dikenal pasti dan disahkan, saya
akan memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di sini yang kemudian akan
memaklumkan kepada keluarga dan lain-lain lagi,” katanya.
Dr Zahari menarik perhatian, sebaik sahaja jenazah dikenal pasti,
pelbagai proses dokumentasi pula diperlukan untuk membawa keluar jenazah
ke Rumah Mayat Monuta.
Mengikut Prosedur Operasi Standard, sebaik sahaja dikenal pasti
jenazah adalah milik sesebuah negara sewaktu proses pengecaman dan
identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, jenazah kemudian
perlu melalui lima proses penting.
Ini antaranya melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil
perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan
surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi
atau dibakar.
Selesainya proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat
Monuta Innemee, S-Gravenhage di sini, kira-kira 90km dari Hilversum
untuk menjalani urusan pengurusan jenazah mengikut agama masing-masing.
Ditanya mengenai rungutan sesetengah pihak mengenai kenapa semua
jenazah tidak dibawa keluar secara serentak, beliau berkata setiap
proses identifikasi memerlukan masa dan perlu mengharungi pelbagai fasa.
“Umum perlu faham, ada 298 kes dan setiap kali bersidang, cuma 20 kes
sahaja dibentangkan. Dari situ, tidak semua yang dikenal pasti adalah
warganegara Malaysia.
“Prosedur disini seperti identifikasi dan autopsi adalah berbeza.
Kecepatan proses pengenalpastian mana-mana jenazah bergantung kepada
selesainya fasa rekonsiliasi,” katanya.
Tegas Dr Zahari, mana-mana kes jenazah sama ada lengkap atau
sebaliknya yang telah selesai melalui proses rekonsiliasi akan dibawa ke
lembaga mengikut giliran dan secara rawak.
“Tidak semestinya setiap kali kami bermesyuarat, akan ada kes yang dibentangkan melibatkan jenazah Malaysia.
“Kita tidak tahu mayat dari negara mana yang datang atau kes apa
dibentangkan. Malah ada beberapa kes yang ditahan untuk siasatan
lanjut,” katanya sambil menambah terdapat 180 dari 298 mayat telah
dikenal pasti ketika ini.
Dr Zahari yang telah berkhidmat hampir 27 tahun dalam bidang
kesihatan termasuk forensik ini berkata adalah menjadi keinginan dan
harapan untuk mengenal pasti dan menemui kesemua mayat warga negara
Malaysia dalam kadar segera.
“Walau berdepan kerumitan, saya sering berdoa agar setiap kali
mesyuarat, akan ada jenazah dari Malaysia dan dikeluarkan secepat
mungkin, barulah lapang dada saya.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan sebanyak 31 jenazah rakyat Malaysia telah dikenal pasti.
Pada Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11
penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan
sebuah pesawat khas dan pada Ahad kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa
tragedi itu tiba di tanah air.
Satu lagi jenazah tiba pada Sabtu lepas.
Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal,
dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di
timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.
Pesawat itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
– BERNAMA