#MH17 : Solat Jenazah Mangsa Pesawat MAS Dijalankan Serentak Diseluruh Negara Selepas Jumaat!!


Putrajaya, 21 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk seri Jamil Khir Baharom menegaskan solat jenazah hadir dan solat jenazah ghaib bagi mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang beragama islam akan dijalankan serentak diseluruh negera selapas solat Jumaat esok.

Jamil Khir berkata, pasukan pengurusan jenazah Muslim yang terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) sudah selamat memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkan kesemua 11 jenazah tersebut di Amsterdam.

"Setibanya jenazah di Malaysia yang diberikan penghormatan negara, kita akan mengadakan solat jenazah hadir dan solat jenazah ghaib secara serentak di seluruh negara selepas solat Jumaat pada Jumaat, 22 Ogos.

"Solat jenazah hadir khusus bagi masjid yang menerima jenazah untuk tujuan disolatkan pada waktu ketibaan jenazah di destinasi pengkebumian, manakala solat jenazah ghaib boleh diadakan sebaik sahaja mendengar maklumat jenazah telah dimandi dan dikafankan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Merujuk kepada laporan, sebanyak 20 jenazah yang terdiri daripada penumpang dan anak kapal MH17 akan tiba awal pagi esok di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Jamil Khir lagi, sehingga kini dua ahli keluarga sudah bersetuju jenazah tersebut dikebumikan di tanah perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya dan solat jenazah hadir akan diselaraskan di Masjid Putra, Putrajaya.

"Manakala bagi jenazah Muslim yang dibawa terus ke negeri masing-masing, jenazah akan disolatkan di peringkat negeri dan permukiman masing-masing," ujarnya lagi.

Jelas Jamil Khir lagi, JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri akan berperanan bagi menguruskan solat jenazah dan urusan pengebumian jenazah Muslim sehingga majlis selesai.

Selain itu. JAKIM akan menyediakan dua imam pengiring bagi setiap jenazah Islam untuk membantu menguruskan solat jenazah, bacaan talkin dan tahlil.

Dalam pada itu juga, Jamil Khir meminta seluruh masjid di seluruh negara untuk mengadakan solat jenazah ghaib secara serentak sebaik sahaja selesai solat Jumaat dan sekiranya umat Islam tidak tahu cara melaksanakan solat jenazah ghaib, JAKIM telah menyediakan maklumat khas berkenaan solat tersebut di www.islam.gov.my.

"Di peringkat negara, solat jenazah ghaib akan diadakan secara langsung di Masjid Putra, Putrajaya. Semua masjid juga digalakkan untuk mengadakan majlis tahlil selepas solat jenazah.

"Saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk sama-sama menunaikan solat jenazah ghaib di masjid-masjid peringkat negeri dan komuniti," tambah Jamil Khir. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor